
EKONOMI negara tidak akan pulih tahun depan kerana kerajaan tidak akan mampu mencatat pertumbuhan 4.8 % seperti jangkaan dalam Belanjawan 2020, kata Najib Razak.
Ia jelas menunjukkan pembentangan belanjawan itu tidak mencapai matlamat dalam merangka ekonomi negara, katanya.
“Saya lihat Belanjawan 2020 tidak mencapai matlamat, untuk merangka ekonomi, mahupun untuk menunaikan segala janji mereka.
“Hakikat kadar pertumbuhan akan menguncup dan mungkin ada kemungkinan 4.8% ini juga tidak mampu dicapai sebenarnya,” katanya ahli Parlimen Pekan itu kepada pemberita di lobi Parlimen.
Najib juga berpendapat belanjawan kali ini menggembirakan rakyat kerana berlaku banyak kenaikan seperti harga minyak, tarif air dan cukai lain.
Beliau berkata kerajaan juga banyak meneruskan apa yang dibuat semasa zaman Barisan Nasional (BN) dalam belanjawan kali ini.
“Kalau lihat apa yang berlaku tahun depan minyak akan naik harga air akan naik, cukai lain akan diperkenal, termasuk cukai digital, dan sebagainya.
“Bererti tekanan kepada kos sara hidup akan bertambah dan bantuan kepada penjawat awam tidak sepertimana ditawarkan kerajaan BN,” katanya.
Sementara itu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula berkata banyak lagi janji daripada bajet lepas tidak dilaksanakan kerajaan.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mempersoalkan langkah kerajaan untuk tidak meningkatkan peruntukan bagi keselamatan.
“Tak ada penambah baik kecuali IPCMC yang jelas ditolak oleh anggota bawahan dan pegawai atasan,” katanya.
Senada dengannya, Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein yang turut melihat tiada penambahbaikan bagi keselamatan dalam Belanjawan 2020.
Pada masa sama beliau turut menyatakan kebimbangan kepada kerajaan yang masih lagi tidak membentangkan kertas putih pertahanan.
“Saya tak bimbang dari segi jumlah, saya bimbang daripada segi yang apa nak dibuat dengan jumlah itu.
“Menteri pertahanan kata tunggu kertas putih akan bentang 10 Januari , kemudian tunggu 29 Julai lepas tu Ogos, bila sampai Ogos kata kena tunggu persidangan dewan.
“Sampai ke Dewan kata November, hari ini tunggu lepas bajet. Jadi saya nak cakap kepada menteri pertahanan bahawa pengganas keselamatan negara tak tunggu kertas putih dia,” katanya. Laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan bersama Belanjawan 2020 meramalkan ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 4.8% tahun depan.
Perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasa itu disumbangkan permintaan domestik yang dijangka berdaya tahan meskipun menghadapi cabaran luar, menurut Kementerian Kewangan.
Lim Guan Eng ketika membentangkan belanjawan itu berkata halangan utama kepada usaha meningkatkan ekonomi Malaysia adalah skandal kleptokrasi global berjumlah RM150 bilion.
Beliau turut menyebut hutang tinggi yang diwarisi pentadbiran terdahulu. RM2.4 bilion pada 2019 dan RM2.7 bilion untuk 2020 untuk kes 1MDB da SRC International.
Katanya, kerajaan berjaya mengurangkan kadar nisbah hutang dan liabiliti negara berbanding KDNK kepada 75.4% pada 2018.
Jumlah itu bagaimanapun meningkat kepada 77.1% pada akhir Jun 2019, katanya. – 11 Oktober, 2019.
Komen