Kelajuan, pertumbuhan masa depan faktor utama projek HSR KL-Singapura


Asila Jalil

Perdana Menteri Najib Razak berkata HSR KL-SG adalah projek 'infra-rakyat' yang tidak sahaja menyediakan mod perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura, tetapi ia juga akan mengubah negara kepada negara berpendapatan tinggi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Oktober, 2017.

POTENSI jajaran laluan kereta api dan bandar adalah menjadi penentu utama dalam pembangunan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG), kata Ketua Pegawai Eksekutif firma Malaysia yang menyelia projek itu.

Ulas Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, sebagai contoh, mengapa stesen Batu Pahat terletak kira-kira 30 minit dari pusat bandar.

“Apabila memilih stesen, ada banyak faktor yang perlu dianalisa.

“Kami mahu (stesen) di pusat penduduk… tetapi aspek lain ialah ia harus berada di jajaran yang lurus” kerana kelajuan kereta api,” katanya.

“(Stesen) akan terletak hampir dengan pusat penduduk sekarang atau di masa depan,” katanya pada sidang akhbar di majlis perasmian reka bentuk stesen HSR KL-SG HSR di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malasyia (MITEC) hari ini.

Katanya, walaupun stesen Batu Pahat tidak terletak di pusat bandar, HSR boleh menjadi penjana pertumbuhan yang membawa kepada perbandaran yang lebih hidup pada masa depan.

Sementara itu, Perdana Menteri Najib Razak berkata HSR KL-SG adalah projek “infra-rakyat” yang tidak sahaja menyediakan mod perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura, tetapi ia juga akan mengubah negara kepada negara berpendapatan tinggi.

Mengenai reka bentuk stesen, Najib berkata setiap stesen mencerminkan identiti dan warisan Malaysia, namun berkonsepkan moden dan futuristik.

“Penyelidikan yang luas dan usaha yang banyak telah dicurahkan ke dalam setiap reka bentuk stesen HSR bagi memastikan cerminan dinamik warisan dan budaya Malaysia yang kaya dan pelbagai.

“Reka bentuk ini bukan saja menyerlahka unsur-unsur unik setiap bandar, tetapi menonjolkan kreativiti dan inovasi, seiring kita menuju masa depan,” kata Najib.

HSR KL-SG menghubungkan Kuala Lumpur, Bangi, Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Tambah beliau lagi, pengambilan tanah untuk projek itu juga sudah dimulakan. – 17 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen