Jangan samakan LTTE dengan perjuangan Palestin dan Rohingya, kata pembangkang


Chan Kok Leong

KUMPULAN militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tidak sepatutnya disamakan dengan perjuangan Palestin dan Rohingya, kata pembangkang hari ini.

“Orang Palestin menerima penduduk Yahudi sebelum tanah mereka diambil oleh Zionis,” kata Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob di lobi Parlimen hari ini.

“Oleh itu, jangan buat isu Palestin sebagai asas untuk menyokong organisasi pengganas seperti LTTE.

“Bagi Rohingya, mereka adalah rakyat yang menjadi mangsa oleh kerajaan mereka sendiri di Myanmar.”

Blok pembangkang berkata demikian susulan penangkapan dua ahli politik DAP dan lima individu lain berhubung dakwaan mempunyai kaitan dengan LTTE semalam.

Selepas penangkapan itu, beberapa pemimpin DAP mengatakan isu berkaitan LTTE tidak serius dan cuba menyamakan sokongan terhadap kumpulan pengganas itu dengan sokongan kepada isu Palestin.

Ismail menambah, mereka kesal dengan kenyataan Menteri Kewangan dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bahawa tidak akan ada penangkapan lagi oleh pihak polis.

“Ini boleh dianggap gangguan politik terhadap hal polis kerana ia melibatkan seorang menteri yang cuba campur tangan. Kami berharap polis tidak terancam dengan perkara ini dan akan meneruskan siasatan mereka,” kata Ismail.

Ismail berkata pihak pembangkang berharap Jabatan Peguam Negara akan berlaku adil apabila siasatan selesai dan bertindak berdasarkan bukti.

Persidangan akhbar hari ini juga dihadiri oleh ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak dan PAS.

LTTE secara rasmi dikalahkan pada 17 Mei 2009 sementara pemimpinnya V. Prabakharan dibunuh oleh pasukan kerajaan Sri Lanka dua hari kemudian. – 11 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen