MOF jangka inflasi lebih tinggi pada 2020 tetapi pasaran kerja stabil


Sheridan Mahavera

Kadar inflasi yang rendah sebanyak 0.5% dalam lapan bulan pertama tahun 2019 adalah disebabkan harga terkawal petrol RON95 pada RM2.08 seliter dan diesel pada RM2.18 seliter. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2019.

KADAR inflasi pada 2020 dianggarkan berkembang kepada 2% disebabkan sistem subsidi minyak bersasar Putrajaya yang akan menyaksikan harga RON95 meningkat secara perlahan ke arah sistem apungan berdasarkan harga pasaran bermula tahun depan.

Unjuran ini adalah dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2020 Kementerian Kewangan, yang dikeluarkan sebelum pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini.

Laporan itu mengatakan sebagai perbandingan, indeks harga pengguna (CPI) yang menjadi ukuran inflasi, secara purata sebanyak 0.5% antara Januari hingga Ogos 2019.

Kadar inflasi yang rendah sebanyak 0.5% dalam lapan bulan pertama tahun 2019 adalah disebabkan harga terkawal petrol RON95 pada RM2.08 seliter dan diesel pada RM2.18 seliter, kata laporan itu.

Peningkatan inflasi juga disebabkan oleh levi perlepasan yang berkuatkuasa pada September.

“Unjuran inflasi juga bergantung kepada nilai tukaran mata wang ringgit kepada mata wang asing dan harga minyak yang tidak stabil di seluruh dunia disebabkan ketegangan perdagangan dan faktor geopolitik,” kata laporan itu.

Pasaran buruh juga dijangka kekal stabil tahun depan dengan penambahan pekerjaan baru, sementara kadar pengangguran akan kekal pada 3.3% daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Laporan kementerian itu mengatakan tenaga kerja dianggarkan meningkat kepada 15.3 juta pada 2020 berbanding 15.1 juta tahun ini.

Daripada 15.3 juta pekerja, kira-kira 62.1% atau 9.5 juta dianggarkan bekerja di sektor perkhidmatan, 16.2% dalam pembuatan dan 12.2% dalam sektor pertanian.

 Pekerja asing yang secara sah meningkat kepada 2 juta pada Ogos tahun ini, dengan lebih daripada 35% dari Indonesia diikuti Bangladesh (28.75%) dan Nepal (15.7%).

Putrajaya akan meneruskan usaha untuk mengurangkan pergantungan terhadap buruh asing yang kurang berkemahiran, kata laporan itu.

Inisiatif terkini adalah lanjutan levi bagi pekerja yang berkhidmat lebih 10 tahun dalam sektor pertanian. – 11 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen