Kementerian Kewangan jangka ekonomi Malaysia lebih baik tahun depan


Ragananthini Vethasalam

Dalam Laporan Tinjauan Fiskal Dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020, KDNK dijangka mengembang kepada 4.8% pada 2020. – Gambar AFP, 11 Oktober, 2019.

EKONOMI Malaysia dijangka berkembang sebanyak 4.8% tahun depan ekoran permintaan domestik berdaya tahan meskipun menghadapi cabaran luar, kata Kementerian Kewangan.

Dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2020, kementerian berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mengembang kepada 4.8% pada 2020 berbanding 4.7% tahun ini.

Menurut laporan itu, dengan sokongan pasaran buruh yang stabil dan kadar inflasi yang rendah, perbelanjaan isi rumah yang menyumbang sebanyak 58% daripada KDNK akan terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi.

Pelaburan swasta dijangka perlahan pada tahun ini dengan penerusan semula projek infrastruktur dan perbelanjaan modal berterusan dalam perkhidmatan dan pembuatan.

“Aktiviti perbelanjaan sektor swasta yang menggalakkan akan mengimbangi kesan perbelanjaan awam yang rendah pada 2019. Bagaimanapun, perkembangan ekonomi dijangka melantun semula pada 2020 dengan penambahbaikan dalam perbelanjaan modal perbadanan awam,” laporan itu dipetik.

Dari segi penawaran pula, sektor perkhidmatan dan pembuatan akan terus menjadi peyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sektor perkhidmatan akan dipacu oleh perdagangan borong dan runcit, komunikasi dan maklumat, juga subsektor kewangan dan insurans yang akan disokong kuat oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh.

Sektor pembuatan dijangka lebih perlahan tahun ini ekoran kelembapan dalam subsektor elektrikal dan elektronik. Bagaimanapun, ia dijangka rancak semula tahun depan dengan ramalan yang lebih baik dalam industri semikonduktor.

Sektor pertanian pula dijangka menyaksikan beberapa pertumbuhan tahun depan ekoran peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) dan getah asli.

Pengeluaran gas asli dalam sektor perlombongan juga dijangka lebih tinggi. – 11 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen