Kes tahan 2 Adun DAP, Ambiga persoal mengapa guna Sosma


Noel Achariam Bede Hong

Ambiga Sreenevasan terkejut dengan kerajaan Pakatan Harapan yang membenarkan dua Adunnya ditahan di bawah Sosma. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Oktober, 2019.

AKTIVIS dan peguam Ambiga Sreenevasan hari ini mempersoalkan mengapa Pakatan Harapan membenarkan dua wakil rakyatnya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Katanya, penahanan itu mengejutkannya dan sebenarnya tidak perlu untuk menahan Adun terbabit di bawah undang-undang menindas itu.

“Saya terkejut. Asas sudah diberi, tetapi saya tak nampak mengapa (perlu guna) Sosma.

“Tiada keperluan untuk guna. Saya terkesima kerana ia berlaku di bawah kerajaan sekarang,” katanya selepas forum bertajuk “Freedom of Expression: How Social Development Is As Crucial As Economic Development” hari ini.

Adun Gadek G Saminathan yang juga exco Melaka dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran antara tujuh orang yang ditahan semalam. Kedua-dua Adun tersebut adalah Adun DAP.

Kesemua mereka ditahan kerana didakwa mempromosi dan mengutip derma untuk kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang sudah bubar.

Tambah Ambiga, polis sewajarnya memanggil mereka untuk soal siasat sekiranya perlu.

“Saya juga sukar percaya yang LTTE mendatangkan sebarang ancaman pada masa sekarang.”

Manakala, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin pula berkata wujud peruntukan undang-undang lain untuk keganasan tertentu.

“Sebelum ini, saya berpandangan yang walaupun Sosma ada kelemahan ia masih diperlukan.

“Untuk (kes) wakil rakyat terbabit, saya tak boleh komen kerana kes mereka masih dalam siasatan.” – 11 Oktober, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen