Putrajaya jangka peroleh hasil RM244.5 bilion pada 2020


Sheridan Mahavera

Putrajaya menjangkakan memperoleh hasil lebih RM244.5 bilion tahun depan, kurang daripada yang diperolehi pada 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2019.

PUTRAJAYA menjangkakan memperoleh hasil lebih RM244.5 bilion tahun depan, kurang daripada yang diperolehi pada 2019, kata Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, kementerian itu berkata kutipan hasil pendapatan yang lebih tinggi pada 2019 adalah disebabkan dividen istimewa dari Petronas.

Tanpa dividen istimewa Petronas, Putrajaya menganggarkan perolehan hasil RM233.3 bilion dari cukai, lesen dan pendapatan pelaburan pada 2019.

Dalam Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020, Kementerian Kewangan berkata hasil pendapatan yang dianggarkan pada 2020 melalui cukai, lesen dan pendapatan pelaburan sebenarnya 4.8% lebih tinggi.

Dividen istimewa yang diperolehi dari Petronas adalah untuk membantu kerajaan Pakatan Harapan (PH) melunaskan bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan yang gagal dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Daripada hasil RM244.5 bilion yang dijangkakan pada tahun depan itu, kira-kira 77.7% atau RM189.9 bilion akan diperolehi melalui kutipan cukai.

Cukai langsung seperti cukai dari syarikat dan individu dianggarkan meningkat sebanyak 5.2% iaitu lebih daripada RM142.7 bilion pada 2020, berbanding kira-kira RM135.6 bilion pada tahun ini.

Menurut kementerian, peningkatan besar itu disebabkan hasil kutipan lebih baik dari pendapatan syarikat dan individu yang dianggarkan masing-masing sebanyak RM75.5% bilion dan RM37.4 bilion.

Cukai langsung seperti cukai dari syarikat dan individu dianggarkan meningkat sebanyak 5.2% iaitu lebih daripada RM142.7 bilion pada 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2019.

“Cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat (CITA) yang lebih tinggi adalah kerana prospek pendapatan korporat yang lebih baik dan usaha berterusan dalam audit pematuhan dan pematuhan cukai,” kata kementerian dalam Laporan Tinjauan Fiskal Dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020.

Cukai pendapatan petroleum dijangkan menurun kepada RM17.5 bilion tahun depan berbanding RM17.9 bilion tahun ini, disebabkan harga minyak jatuh di seluruh dunia.

Cukai tidak langsung termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan duti eksais dijangka meningkat kira-kira RM47.3 bilion tahun depan berbanding RM44.4 bilion tahun ini.

SST yang menggantikan GST dijangka menyumbang RM28.3 bilion pada 2020, naik sebanyak 5.6% disebabkan penggunaan yang lebih tinggi. Kutipan SST pada tahun ini dijangka sebanyak RM26.8 bilion.

Jumlah hasil bukan cukai dari lesen, permit dan pendapatan pelaburan tahun depan dijangka sekitar RM54.6 bilion. – 11 Oktober, 2019.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen