Hampir RM1 bilion yang dirompak daripada 1MDB sudah dipulangkan


Sheridan Mahavera

SETAKAT Jun 2019, hampir RM1 bilion wang yang diseleweng daripada dana kekayaan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dipulangkan, kata Kementerian Kewangan.

RM980 juta diperolehi daripada pelbagai sumber dalam dan luar negara yang akan digunakan untuk membayar hutang 1MDB mencecah RM32.19 bilion, hutang yang dibuat pentadbiran Najib Razak.

Hutang 1MDB yang kini terpaksa dibayar kerajaan Pakatan Harapan adalah sebahagian daripada hutang keseluruhan berjumlah RM1.170 trilion dalam bentuk hutang langsung, jaminan komitmen dan pelbagai liabiliti yang ditanggung Putrajaya setakat Jun 2019.

Jumlah hutang langsung kerajaan mencecah 52.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan jumlah hutang termasuk jaminan, 1MDB dan liabiliti lain pula membentuk 77.1% kepada KDNK.

“Disebabkan salah urus dan tadbir urus yang lemah, kerajaan perlu mengambil alih keseluruhan tanggungjawab 1MDB termasuklah hutang prinsipal sebanyak RM32.3 bilion,” kata kementerian dalam Laporan Tinjauan Fiskal Dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020.

“Setakat berakhir Jun 2019, kerajaan sudah mendahulukan RM8.9 bilion untuk 1MDB untuk menyelesaikan hutangnya,” kata laporan itu menjelang pembentangan Belanjawan 2020.

Kemelut 1MDB mencetuskan siasatan jenayah penipuan dan pengubahan wang haram di enam buah negara dan dianggap Jabatan Keadilan AS sebagai kes kleptokrasi terbesar pernah disaksikan dunia.

Najib Razak kini berdepan 25 pertuduhan berkaitan kes 1MDB, dan rakyat terus menanggung bebannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2019.

Dianggarkan AS$4.5 bilion dirompak daripada dana negara itu yang ditubuhkan oleh bekas perdana menteri Najib, wang hasil seleweng itu kemudiannya digunakan untuk membeli hartanah mewah, karya seni, pesawat, kapal layar sehinggalah pembiayaan dana parti politik.

Najib kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa menerima suapan mencecah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pula sudah memulakan prosiding mahkamah untuk merampas dan menyita hampir RM270 juta daripada yayasan, parti politik dan individu yang mempunyai kaitan dengan Najib dan Barisan Nasional.

Selain hutang 1MDB, kementerian juga mendedahkan hutang langsung kerajaan mencecah RM799.1 bilion setakat Jun 2019, naik daripada RM741 bilion pada 2018.

Komitmen jaminan kerajaan (CG) pula berjumlah RM157.3 bilion pada 2019, naik daripada RM132.7 bilion pada 2018.

CG dikeluarkan untuk membantu syarikat tertentu mendapatkan pinjaman bagi projek dan inisiatif berkepentingan awam.

Pada 2019, antara peruntukan untuk GC adalah inisiatif dan projek termasuklah pelanjutan projek Aliran Transit Massa 2, Lebuh Raya Pan Borneo dan perumahan penjawat awam.

Liabiliti lain termasuklah inisiatif kerjasama swasta dan awam (PPP) dan inisiatif pembiayaan awam (PFI) berjumlah RM181.7 bilion pada 2019, naik daripada RM184.9 bilion pada 2018. – 11 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen