POLIS lebih berminat untuk menyiasat mengenai dakwaan bahawa Pastor Raymond Koh cuba memurtadkan orang berbanding cuba mencarinya, kata isterinya, Susanna Liew.
Bagi wanita itu, sia-sia sahaja polis menyiasat perkara itu kerana keluarga mereka sudah berulang kali ditanya soalan yang sama sebelum ini.
Liew memberitahu The Malaysian Insight pasukan petugas khas dan polis sepatutnya menumpukan usaha mereka mencari Koh yang hilang sejak lebih dua tahun yang lalu.
“Kenapa tanya lagi soalan tentang Koh? Kami sudah ditanya banyak kali sebelum ini dan keterangan kami beri keterangan semasa pendengaran Suhakam.
“Peguam kami juga juga sudah beri (polis) rumusan tentang apa yang berlaku,” katanya.
Menurut Liew, beliau dan anak lelakinya disoal siasat di Balai Polis Kelana Jaya pada 17 September.
Katanya, mereka disoal siasat selama setengah jam dan menumpu kepada sama ada Koh cuba memurtadkan orang di utara Semenanjung.
“Mereka bertanya tentang perjalanan dia ke utara di mana dia didakwa cuba murtadkan orang.
“Saya tak ikut sekali, jadi saya tak tahu apa-apa. Saya betul-betul terkejut. Soalan apa ini?
“Langsung tak ada kena mengena dengan hendak cari Koh. Mereka sepatutnya pergi cari penjahat,” kata Liew.

Sudah lebih lapan bulan sejak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menerbitkan laporan yang merumuskan bahawa pasukan Cawangan Khas terlibat dalam penculikan Koh dan pengasas Perlis Hope Amri Che Mat.
Koh hilang pada Februari 2017 manakala Amri pada November 2016.
Selepas laporan Suhakam dikeluarkan, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan satu pasukan petugas khas yang akan menyiasat kehilangan kedua-dua aktivis itu.
Muhyiddin berkata pasukan tersebut mempunyai masa selama enam bulan untuk menjalankan tugas.
Pasukan petugas itu diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Tinggi Abdul Rahim Uda dan disertai oleh bekas ketua bahagian perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mokhtar Mohd Noor, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM Zamri Yahya, Pengarah Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Muhammad Bukhari Ab Hamid, Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Mohd Sophian Zakaria, Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis Mohd Russaini Idrus, peguam Roger Tan dan Penolong Pesuruhjaya Bahagian Pemeriksaan SPRM Azian Umar. – 11 Oktober, 2019.
Komen