Kes peras ugut, rasuah RM5 juta Syed Saddiq kini di Bukit Aman


Muzliza Mustafa

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini sekali lagi memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman berhubung kes diugut dan tawaran rasuah RM5 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2017.

KETERANGAN Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman diambil lagi jam 2 petang tadi dan kali ini oleh Cawangan Khas di ibu pejabat polis Bukit Aman.

Keterangan itu diambil susulan laporan polis dibuat di Subang Jaya bertarikh 4 Oktober berhubung ugutan dibuat terhadapnya dan ahli keluarga oleh mereka yang didakwa menawarkan RM5 juta kepadanya untuk meninggalkan Bersatu.

Syed Saddiq sebelum ini memberi keterangan kepada polis Subang Jaya berhubung perkara itu.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan butiran terperinci laporan berkenaan, atau di mana ia dibuat, hanya berkata ia membabitkan “ugutan peribadi dan peras ugut”.

Ketika ditanya mengenai pertemuan terbaru dengan polis hari ini, Syed Saddiq berkata kes itu kini diambil alih oleh Bukit Aman.

“Ugutan dan RM5 juta itu saling berkait. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada polis atas profesionalisme mereka dalam mengendalikan kes itu,” katanya.

Beliau juga enggan memberitahu nama individu yang mengugutnya.

Syed Saddiq menghabiskan masa hampir dua jam di Bukit Aman hari ini.

Dua minggu lalu, Syed Saddiq mendedahkan beliau ditawarkan wang untuk keluar partinya dan mengkritik pengerusi Dr Mahathir Mohamad, dan mencabar bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu untuk berdebat.

Ugutan itu diterima pada Rabu dan pelakunya menghantar beberapa gambar yang boleh menjejaskan keluarganya.

Gambar berkenaan dihantar menerusi aplikasi Telegram, dengan amaran untuk tidak mendedahkan identiti mereka yang berjumpanya dan menawarkan wang berkenaan.

“Laporan polis dibuat Syed Saddiq bukan tentang dirinya, tetapi untuk melindungi keluarga,” kata sumber kepada The Malaysian Insight. – 17 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen