Kumpulan sivil harap lebih banyak dana hak asasi dalam Belanjawan 2020


Noel Achariam

Suaram dan WAO berharap lebih banyak dana diperuntukkan untuk mendidik orang ramai mengenai hak asasi manusia dan wanita. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2019.

KUMPULAN masyarakat sivil yakin satu-satunya cara untuk memperbaiki rekod hak asasi manusia Malaysia adalah melalui pendidikan, dan mereka berharap Putrajaya memasukkannya dalam Belanjawan 2020.

Dua kumpulan hak asasi berkata mereka berharap lebih banyak dana diperuntukkan untuk mendidik orang ramai mengenai hak asasi manusia dan wanita.

Pengurus projek Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dobby Chew berkata bajet itu sekurang-kurangnya menyediakan sumber yang mencukupi bagi pelbagai mekanisme hak asasi manusia dan bagi institusi berfungsi.

Belanjawan juga perlu memperluaskan capaian program pendidikan hak asasi manusia dan dapat menginstitusikan polisi berkaitan hak asasi manusia dalam tadbir urus.

“Belanjawan itu juga harus mensasarkan pendidikan holistik dan capaian polisi oleh agensi-agensi kerajaan.

“Ini untuk memastikan mereka tahu hak mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pendidikan adalah perlu jika kerajaan ingin meyakinkan orang ramai mengenai isu yang menjadi perbalahan seperti meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom.

Putrajaya di bawah Pakatan Harapan cuba untuk meratifikasi perjanjian ini tetapi menerima respons negatif daripada kumpulan pelobi hak Melayu kerana salah faham yang konvensyen antarabangsa ini akan mengikis kedudukan istimewa orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.

“Kegagalan meratifikasi ICERD dan Statut Rom walaupun dengan perkembangan positif yang akan diterima oleh negara, menunjukkan kerajaan perlu meningkatkan capaian dan pendidikan mengenai manfaat dasar hak asasi manusia.

“Mendidik orang ramai melalui sekolah dan universiti juga perlu diperkukuhkan serta menyediakan ruang dan sumber yang perlu untuk berkembang dan diperlakukan sebagai aspek asas sistem pendidikan kita,” tambah Chew.

Di samping sistem pendidikan, Putrajaya juga boleh membiayai “narrative-building activities”, seperti menyiarkan dokumentari hak asasi manusia di televisyen awam dan mengadakan forum awam serta mesyuarat townhall.

Sementara itu, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mahu kerajaan memberi lebih banyak dana kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ini akan membolehkan JKM memberi lebih sokongan kepada mangsa keganasan rumah tangga, kata Pengarah Eksekutif WAO Sumitra Visvanathan. – 11 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen