BARISAN Nasional (BN) tidak akan menjual aset strategik negara untuk mengurangkan kadar hutang negara seperti dilakukan kerajaan PH, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Katanya, kerajaan waktu ini terpaksa berbuat demikian kerana silap membuat anggaran kenaikan harga minyak dalam belanjawan lepas.
Selain itu, pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menyebabkan negara kehilangan hasil pendapatan besar yang boleh menampung hutang tersebut .
“Masalahnya ialah kejatuhan hasil negara. Pakatan Harapan meramalkan harga minyak terlalu tinggi.
“Kesilapan mereka batalkan GST tak termasuk kena pemulangan balik (cukai) ia beri tekanan kepada pendapatan jadi mereka terdesak jual aset. Bukan kerana kerajaan BN.
“Jika BN masih memerintah kita tidak akan pilih untuk jual aset strategik seperti Andes Hotel, saham dan blok yang strategik,” katanya kepada media di lobi Parlimen.
Najib turut menafikan dakwaan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali bahawa BN melupuskan sejumlah 84 aset nilai dari 2009 sehingga April 2019.
Tegasnya pentadbiran BN tidak pernah kehilangan wang dan buat Khazanah hanya merekodkan kerugian buat julung kalinya sewaktu pentadbiran PH.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam mendakwa (BN) menjual lebih RM4 bilion tanah milik awam dalam tempoh tujuh tahun.
Lim juga berkata, 16 penjualan tanah berlaku antara tahun 2010 hingaa 2017, kebanyakannya melalui rundingan terus.
Lim berkata demikian bagi menangkis dakwaan pembangkang bahawa pentadbiran PH menjual tanah dan aset kerajaan setelah mendapat kuasa.
Setiausaha agung DAP itu menjelaskan, kerajaan sekarang langsung tidak menjual tanah kerajaan sejak mengambil alih pada Mei tahun lepas. – 10 Oktober, 2019.
Komen