HARIMAU Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tidak patut dianggap sebagai pengganas kerana organisasi itu adalah pasukan pejuang pembebasan, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
Beliau juga percaya LTTE, yang sudahpun dibubarkan, dianggap sebagai pengganas kerana persepsi perkauman semata-mata.
Walhal, nasib organisasi itu sama sahaja seperti pejuang Palestin yang dianggap sebagai pengganas oleh kerajaan Israel, kata Santiago kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
“Di sana, negara Israel serang Palestin. Di sini, negara Sri Lanka serang Tamil. Itu sahaja bezanya.
“Selain itu, realitinya sama. Tetapi sebab kita tinggal di Malaysia, melihat melalui kanta perkauman, segala-galanya dilihat dari sudut kaum,” katanya.
Santiago juga mendakwa ramai rakyat Malaysia bersimpati pada LTTE yang menurutnya banyak berjuang bagi golongan Tamil di Sri Lanka.
“Orang Tamil di Sri Lanka didiskriminasi, ditipu dan dibunuh… sama seperti (orang) Palestin, malah lebih teruk,” dakwanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penahanan seorang anggota exco dan seorang Adun parti itu kerana kaitan dengan LTTE hari ini.
Tambahnya, beliau bingung dengan penahanan itu kerana menurutnya LTTE sudahpun tidak aktif dan tiada usaha untuk menghidupkannnya semula.
“Jadi saya tidak pasti apakah motif di sebalik penahanan ini. Ia tentu sekali membangkitkan banyak persoalan kerana di Sri Lanka sekalipun, ia tidak lagi wujud.
“Di peringkat antarabangsa juga, rangkaian antarabangsanya dibubarkan kerana semua pemimpin sudah terkorban banyak tahun lalu dalam perang saudara.
“Penahanan ini tidak masuk akal bagi saya. Ia hanya membuang masa,” katanya lagi.
Sumber mengesahkan Exco Melaka G Saminathan ditahan di pejabat di Seri Melaka dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran ditahan di Negeri Sembilan pagi ini.
Polis turut mengesahkan, seorang lagi individu adalah wakil sebuah NGO dari Perak.
Bukit Aman mengesahkan kesemuanya ditahan kerana menyertai sebuah majlis berkaitan LTTE yang dianjurkan pada tahun lalu. – 10 Oktober, 2019.
Komen