Tak perlu bentang bajet alternatif tiap tahun, kata Umno


Diyana Ibrahim Ravin Palanisamy Lee Chi Leong

Pembangkang boleh guna bajet sama selama dua tahun, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2019.

BARISAN Nasional tidak perlu membentangkan bajet alternatifnya setiap tahun dan akan menggunakan Belanjawan 2019, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Beliau berkata BN memutuskan perkara itu kerana ia hanya melibatkan dasar atau polisi dan angka berkaitan pula masih boleh digunakan untuk tempoh dua tahun.

“Kita bukan kerajaan tapi pembangkang dan bajet dari segi angka dasar (lama) tempoh boleh guna adalah dua tahun .

“Kalau kerajaan memang kena bentang tiap-tiap tahun untuk dibelanjakan. Tapi kita pembangkang tak bentang angka atau data nombor,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tambahnya, BN hanya akan membentangkan bajet alternatif baharu pada tahun depan berdasarkan cadangan melalui Pemuafakatan Nasional bersama PAS.

“Pembentangan Pemuafakatan Nasional akan diadakan pada hujung tahun ini. Dan selepas itu tahun depan saya kira BN akan bentangkan bajet mengambil kira cadangan daripada Pemuafakatan Nasional,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MCA Wee Ka Siong semalam yang menyebut pembangkang tidak akan membentangkan bajet alternatif.

Bajet 2019 pembangkang yang dibentangkan pada 2018 mempunyai tiga teras utama iaitu merancakkan pembangunan, meningkatkan pengagihan dan kalis masa depan.

Ia dipromosi sebagai kesinambungan belanjawan terdahulu semasa pentadbiran BN selama lebih daripada 60 tahun mentadbir negara.

Antara cadangan tersebut adalah memperkenalkan beberapa cukai dan inisiatif baharu untuk memberi pulangan untuk pembangunan negara yang seimbang dan sejahtera.

Ia termasuk pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar 3%, penstrukturan levi pekerja asing, caj remit, cukai soda dan cukai karbon.

BN juga mahu mengenakan cukai beg plastik, cukai kekayaan dan cukai tobin selain penstrukturan semula cukai pendapatan individu dengan pengenalan kategori pendapatan,

Ia mahu individu berpendapatan RM350,000 ke atas dan RM500,000 ke atas masing-masing dikenakan cukai 30% peratus dan 32%. – 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen