Zainal Kling akan dipanggil dalam masa terdekat, kata KPN


Zaim Ibrahim

Polis akan memanggil Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu Zainal Kling susulan laporan polis dibuat terhadapnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2019.

KETUA Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu Prof Emeritus Zainal Kling akan dipanggil pihak polis untuk diambil keterangan, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau mengesahkan, Zainal akan dipanggil untuk siasatan susulan laporan polis yang dibuat ke atas ahli Majlis Profesor Negara itu.

“Dia akan dipanggil untuk beri keterangan dalam masa terdekat. Kita masih bertolak ansur, kalau mereka kata minggu ini sibuk, minggu depan boleh (hadir),” kata Hamid kepada pemberita.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Memperingati Pasukan Polis Marin tahun ke-72 di Georgetown, Pulau Pinang.

Polis semalam mengesahkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Zainal dalam ucapan pembukaan tirai kongres itu antara lain menyentuh isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Raja-Raja dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Laporan polis dibuat ke atas Zainal oleh pemimpin NGO Penang Society for Tamil Advancement, Yoganathan Loganathan.

Kongres itu turut disertai Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad serta beberapa pemimpin tertinggi Umno, PAS dan Pakatan Harapan. – 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen