Tak logik Jho Low sembunyi di Los Angeles, kata KPN


Zaim Ibrahim

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata Jho Low tidak mungkin bersembunyi di AS kerana sistem keselamatan negara itu amat ketat. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2019.

AHLI perniagaan kontroversi yang disyaki dalang utama dalam kemelut 1MDB, Jho Low tidak mungkin bersembunyi di Amerika Syarikat (AS), kata Abdul Hamid Bador.

Ketua polis negara itu berkata tidak munasabah bagi Low bersembunyi di negara itu kerana AS mempunyai sistem keselamatan lebih ketat.

“Saya tidak dapat komen mengenai laporan mengatakan dia (Jho Low) ada di Los Angeles. Tetapi logiknya,kawalan keselamatan di AS baik di udara, lautan, dan darat amat ketat.

“Jadi saya tak jangka Jho Low selicik itu, boleh menyelinap masuk ke AS,” katanya pada sidang media sempena Majlis Ulang Tahun Polis Marin ke-72 di Georgetown.

Satu laman hiburan Amerika Syarikat pada hujung bulan lalu memetik kenyataan beberapa selebriti negara itu mendakwa melihat kelibat individu menyerupai Low di sebuah parti di Los Angeles.

Portal Page Six juga menyebut Los Angeles sering dikunjungi ahli perniagaan yang gemar berhibur itu. – 10 Oktober, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen