PEMIMPIN Umno dan PAS perlu bersedia masuk ke dalam kuil dan rumah ibadat lain jika kedua-dua parti mahu komuniti bukan Islam faham tentang Piagam Muafakat Nasional, kata veteran PAS Subky Latif.
Tindakan itu adalah untuk meraih sokongan bukan Islam dalam usaha menakluk semula Putrajaya, kata bekas wartawan dan ketua penerangan PAS itu pada sebuah forum anjuran Umno di PWTC malam tadi.
“Kita perlu bersedia masuk kuil. Kita perlu jelaskan kepada mereka yang kita tidak akan mendiskriminasi orang bukan Islam. Ini penting kerana jika kita mahu berada di Putrajaya, kita perlukan mereka faham piagam ini,” katanya.
Umno dan PAS menandatangani piagam itu bulan lepas selepas tiga bulan berbincang.
Piagam itu menjadi kenyataan selepas kejayaan kerjasama tidak rasmi mereka di PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.
Piagam dikenali sebagai Muafakat Nasional itu dipandu oleh enam teras dan bertujuan mempromosi naratif baharu dipandu Umno dan PAS bagi melawan naratif “Malaysia Baharu” Pakatan Harapan.
Kepimpinan Melayu Islam adalah teras utama piagam itu dengan janji untuk melindungi hak komuniti kaum dan agama lain.
Subky berkata menakluk Putrajaya tanpa sokongan orang bukan Islam tidak mendatangkan kebaikan untuk negara.
“Jika kita menang tanpa sokongan orang Cina dan India, saya tak gembira. Ia bencana untuk Malaysia. Sebelum dan selepas Merdeka, orang Cina dan India sudah ada di sini dan kita perlu pastikan hak mereka dilindungi,” katanya.
Menyentuh mengenai aturan kerja bersama musuh tradisi yang kini jadi sekutu rapat, Umno, Subky berkata parti bekas kerajaan itu tidak boleh menakluk Putrajaya tanpa PAS dan begitu juga sebaliknya.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin yang juga jadi panel forum malam tadi berkata Piagam Muafakat Nasional adalah platform tepat untuk pemimpin Melayu sekarang.
Tambahnya, piagam itu akan memastikan kerajaan diterajui orang Melayu kekal bertanggungjawab dan cekap.
“Bila kita tandatangan piagam itu, kita menyedari yang Malaysia adalah masyarakat pelbagai kaum. Kita mahu piagam itu jadi toleran dan sederhana. Bagaimanapun, kita mahukan pemimpin Melayu berada di tempat sepatutnya mereka berada. Kita akan pastikan yang kerajaan diketuai orang Melayu bertanggungjawab dan cekap,” kata bekas menteri besar Johor itu.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad pula memberikan jaminan bahawa orang bukan Melayu tidak akan didiskriminasi sekiranya Umno dan PAS merampas Putrajaya daripada PH.
Beliau mengingatkan yang PAS berjaya mentadbir Kelantan selama 29 tahun tanpa rungutan penduduk bukan Islam negeri itu.
“Bila kita tandatangan, ramai buat kenyataan jelik kata kita rasis dan kita akan abaikan orang bukan Islam. Selama 29 tahun, pernah kita dengar orang Cina di Kelantan didiskriminasi? Pernah kita dengar BN abaikan orang India dan kaum lain di negeri (ditadbir mereka)?
“Bila Islam memimpin, semua orang akan diberi layanan adil, negara akan makmur di bawah Islam,” jelasnya. – 10 Oktober, 2019.
Komen