SAKSI pendakwa kesembilan, bekas CEO 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Shahrol akan kembali menyambung keterangan hari ini, masuk hari ke-20 perbicaraan kes membabitkan Najib Razak.
Shahrol akan disoal balas oleh ketua pasukan peguam Muhammad Shafee Abullah berkenaan peranan on Low Taek Jho dalam 1MDB sejak 2010.
Semalam, beliau dalam keterangannya berkata AmBank tidak pernah memberitahu lembaga pengarah Terengganu Investment Authority (TIA) atau Najib yang ia terbabit dalam penjualan bon untuk keuntungan singkat yang didakwa dilakukan oleh syarikat ada kaitan dengan Low, untuk mendapat jutaan ringgit.
Shahrol juga CEO TIA, iaitu sebelum 1MDB. Mahkamah diberitahu lembaga pengarah TIA tidak tahu bahawa Aktis Capital Singapore Pte Ltd dan Country Group Securities, berpangkalan di Thailand adalah pelanggan sekunder dalam jualan bon RM5 bilion bagi mengumpul wang untuk pelaburan di Pulau Bidong.
Bapa Low, Larry ada kaitan dengan Country Group, menurut dokumen diserahkan kepada mahkamah.
Shahrol juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Najib tidak tahu tentang penjualan bon itu atau Low didakwa sebagai dalangnya.
Saksi itu turut memberitahu Low satu-satunya penghubung antara Najib dan 1MDB walaupun pembiaya yang kini dalam pelarian itu tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam syarikat pelaburan negara itu.
Najib 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram bagi jumlah yang sama.

Pihak pendakwaan menuduh bekas perdana menteri itu berkomplot dengan Low yang kini dalam pelarian, untuk menipu syarikat pelaburan negara itu.
Tertuduh diwakili sepasukan peguam yang diketuai oleh Shafee.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pihak pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah. – 10 Oktober, 2019.
The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
12.14pm: Mahkamah ditangguhkan. Perbicaraan bersambung pada Isnin.
12.13pm: Shahrol bertanya kepada Sequerah sekali lagi jika beliau boleh dibenarkan pulang hari ini.
Sequerah: Kamu kenapa?
Shahrol: Saya rasa tidak sihat.
Sequerah: Tidak boleh teruskan?
Shahrol: Tidak, saya tidak boleh.
11.36am: Shahrol berkata menjadikan TIA agensi persekutuan disegerakan mengikut arahan Low.
11.21am: Bagi menjadikan TIA agensi persekutuan, Shahrol mencadangkan ia diuruskan seperti Petronas.
Shafee: Adakah anda tahu kenapa anda bandingkan ia dengan Petronas?
Shahrol: Low yang mencadangkannya.
Shafee: Sudah tentu.
11.12am: Mahkamah kembali bersidang tetapi Najib tiada di kandang tertuduh.
Shafee memaklumkan Sequerah bahawa Najib akan naik sekejap lagi.
Sequerah beritahu Shafee untuk maklumkan kepada Najib bahawa bukan budaya mahkamah untuk menunggu tertuduh.
Soal balas bersambung.
10.49am: Sri Ram beritahu Sequerah saksi tidak sihat.
Saksi meminta hakim menghentikan prosiding sehingga selepas makan tengah hari.
Sequerah minta saksi meneruskan sehingga waktu makan tengah hari dan kemudian beliau akan membuat keputusan.
Mahkamah berhenti sebentar.
10.47am: Shafee mencadangkan sebagai CEO, Shahrol hanya hiasan meja yang tidak buat kerja.
Shahrol tidak setuju.
Shafee turut mencadangkan ini kerana Shahrol menerima arahan daripada Low tanpa buat pemeriksaan latar belakang atau mempertikaikan motif Low.
Soal balas berhenti sekejap.
10.44am: Shafee tanya adakah Shahrol ada di situ.
Shahrol beri komen sinis yang beliau sudah menjawab soalan itu empat kali.
Shafee: Jangan buat kelakar dengan saya, saya boleh buat kelakar dengan anda juga.
Shahrol berkata beliau tidak beri penjelasan kepada wakil istana.
Shahrol berkata sebelum mesyuarat itu, Low memberitahunya untuk menjangka soalan berkenaan dari istana.
Shafee: Anda tidak terfikir untuk tahu lebih lanjut?
Shahrol: Ini perkara pemegang saham. Saya fikir beliau mewakili Najib sebagai pemegang saham.
10.42am: Shafee merujuk kepada mesyuarat pada 30 Jun, 2009 yang dipengerusikan oleh ketua perbendaharaan pada masa itu, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah. Ia turut dihadiri pegawai khas Najib ketika itu, Amhari Efendi Nazaruddin.
Dalam mesyuarat itu, ada soalan daripada pegawai istana Terengganu yang mempertikaikan peranan Low kerana beliau menggunakan nama kerabat diraja.
10.36am: Shahrol berkata beliau diarahkan untuk menulis cadangan untuk menjadikan TIA agensi persekutuan.
10.30am: Shafee mencadangkan memandangkan latar belakang Shahrol memegang peranan “Mr Posmen”, beliau kini tahu daripada minit mesyuarat Kabinet bahawa Low tidak bercakap benar.
Shahrol setuju.
10.28am: Shahrol bercakap tentang menjadikan TIA agensi persekutuan, akan meletakkan TIA di bawah kerajaan persekutuan, bukan kerajaan negeri Terengganu.
Katanya, beliau tidak tahu tentang keputusan bertulis oleh Kabinet dan Najib, dan hanya diberitahu oleh Low.
Katanya, beliau hanya diberikan maklumat secukupnya untuk menjalankan tugasnya saja.
9.52am: Mahkamah mula bersidang.
Shahrol dipanggil semula.
Komen