KETUA Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan taikun Tan Kok Ping tidak mempunyai sebarang “hubungan istimewa,” kata bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mustafar Ali.
Mustafar hari ini memberi keterangan sumpah dalam saman terhadap laman berita FZ Sdn Bhd yang sudah ditutup, dan terhadap Pengurus Pengarang, Terence Fernandez berkaitan sebuah rencana yang diterbit pada 3 Januari, 2014 bertajuk “SPRM mula siasat pembelian Merc.”
Tan, usahawan terkenal di Pulau Pinang, turut memfail saman terhadap syarikat penerbitan itu. Kedua saman itu diperdengar bersama di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Mustafar membalas, “ya, saya setuju” bila disoal peguam Tan, Christina Siew berhubung sama ada beliau setuju yang Lim dan Tan tiada sebarang hubungan istimewa, memandangkan SPRM sebelum ini tidak menjumpai sebarang bukti dalam tuduhan terhadap usahawan itu.
Setelah kerajaan Pulau Pinang membeli kereta rasmi buat Lim – sebuah Mercedes-Benz daripada syarikat Lowe Motors dengan harga murah, iaitu RM298,263.75 berbanding harga asal iaitu RM657,218 pada penghujung 2013 – rencana itu diterbitkan di FZ.com yang mengaitkan Tan dalam pembelian itu.
Laporan FZ itu melaporkan Tan mempunyai saham dalam Lowe Motors selain mengaitkan beliau dengan syarikatnya General Accomplishments Sdn Bhd yang secara tidak sah telah “membersihkan” puncak Bukit Relau antara April dan Mei 2013 dan didenda RM30,000 pada Julai tahun sama.
Laporan itu turut menyebut derma RM1 juta Tan kepada Pasukan Peronda Sukarela (PPS) dan hubungannya dalam perbincangan berkaitan pembelian Penang Turf Club untuk Berjaya Land Bhd bagi sedikit imbuhan nilainya.
Mustafar berkata SPRM menyiasat tuduhan berkaitan Tan yang melibatkan tiga isu setelah menerima laporan, walaupun beliau tidak pasti bila tarikh yang tepat perincian itu diterima dan juga bila siasatan bermula.
“Tindakan diambil berdasarkan maklumat yang diterima pada masa yang sama, tetapi saya tidak mengakui ketiga perkara itu diterima pada masa sama,” katanya, mengesahkan SPRM telah melihat perkara itu.
Ditanya sama ada maklumat berkaitan Tan yang sedang disiasat oleh jawatankuasa penilaian maklumat SPRM itu turut dikongsi dengan Fernandez, Mustafar berkata beliau tidak memberitahu apa-apa kepada pengarang itu.
“Dia tidak memperolehnya daripada saya. Saya tidak tahu jika ada orang yang memberitahu apa-apa kepadanya.
“Jika perkara itu sedang disiasat oleh SPRM, ia kekal rahsia dan tidak boleh dikongsi dengan pihak lain,” kata Mustafar yang kini memegang jawatan ketua pengarah SPRM selepas dipindahkan daripada SPRM pada 2016.
Sepanjang testimoninya sebagai saksi defendan pagi ini, Siew meminta Mustafar menerangkan perbezaan antara “siasatan” (probe) dan “penyiasatan” (investigation).
Mustafar berkata SPRM mengarahkan pengarah cawangan Pulau Pinang untuk membuat misi penelitian terhadap sebarang bayangan negatif terhadap Lim dan Tan bila perkara ini timbul di media sosial.
Beliau berkata beliau tidak tahu setepatnya bila arahan itu diberi, bagaimanapun mengakui ia diputuskan dalam mesyuarat dan beliau percaya keputusan itu dibuat “serta merta” memandangkan perkara itu berprofil tinggi melibatkan ketua menteri.
“Siasatan dalam istilah SPRM bermaksud siasatan awal, bukan penyiasatan.
“Penyiasatan bermaksud ‘siasatan.’ SPRM tidak pernah mendakwa melakukan penyiasatan terhadap pembelian Mercedes,” katanya.
Disoal sama ada SPRM pernah membuat kenyataan awam menerangkan makna istilah tersebut, Mustafar berkata tidak, jika ia merujuk kepada pembelian Mercedes.
Ditanya mengenai laporan kenyataan pada 20 Februari, 2014 bila beliau dipetik sebagai berkata bahawa beliau mahu duduk berbincang dengan Lim, exco-exco dan wakil rakyat Pulau Pinang untuk menerangkan sistem dan prosidur proses penyiasatan SPRM, Mustafar menjelaskan bahawa mereka tidak tahu bagaimana agensi itu berkerja.
Rencana Fernandez itu melaporkan bahawa SPRM mula “siasat” pembelian Mercedes-Benze kerajaan Pulau Pinang.
SPRM kemudiannya menjelaskan ia tidak menjalankan penyiasatan perkara itu memandangkan ia tidak menjumpai sebarang kes berkaitan Lim dan Tan.
Dalam saman sivil terhadap editor dan penerbitan itu, Lim mendakwa rencana itu diterbitkan dengan tujuan merosakkan nama, reputasi dan kerjaya politiknya.
Dalam kenyataan samannya, Lim mendakwa portal tersebut gagal untuk bertanggungjawab, tepat dan adil dalam laporannya.
Pesuruhjaya Kehakiman Abdul Wahab Mohamed menetapkan tarikh 1 dan 2 November ini untuk perbicaraan semula. – 17 Oktober, 2017.
Komen