PEMERIKSAAN Kementerian Kesihatan terhadap kakitangan awam lelaki yang merokok bukan seksis seperti yang didakwa beberapa pihak, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.
Pekeliling kementerian baru-baru ini menyatakan pekerja lelaki yang merokok dikehendaki menghadiri pemeriksaan kesihatan.
Pemeriksaan yang dijalankan hari ini membabitkan ujian pernafasan untuk memeriksa tahap karbon monoksida dan pemeriksaan pergigian.
Perokok kemudiannya akan dirujuk ke program berhenti merokok secara percuma yang dijalankan oleh kementerian.
“Tidak. Ia tak stereotaip dan bukan tentang seksis, ia mengenai orang-orang yang berisiko,” katanya.
Beliau berkata perokok selalunya terdiri daripada golongan lelaki.
“Menurut statistik, majoriti perokok di Malaysia adalah lelaki dengan nisbah empat hingga satu, jadi dari sinilah kita memberi tumpuan.
“Dalam program ini, kami menilai kakitangan yang merokok dan membantu mereka sama ada mengurangkan atau berhenti merokok,” kata ahli Parlimen Gopeng di lobi Parlimen.
Menurutnya kakitangan wanita di kementerian juga boleh menjalani pemeriksaan dan menggesa kakitangan yang tahu rakan-rakan yang merokok untuk pergi membuat saringan.
Dr Lee mengakui kementerian sedang berusaha mengurangkan jumlah perokok tetapi tidak boleh memaksa mereka yang enggan berhenti merokok.
“Kami akan lakukan apa sahaja untuk menggalakkan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau juga menggesa semua majikan untuk menganjurkan program tersebut untuk membantu kakitangan berhenti merokok. – 9 Oktober, 2019.
Komen