Buat kenyataan seksis di Dewan Rakyat, Hanipa mohon maaf


Chan Kok Leong

Tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin membuat kenyataan seksis telah menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2019.

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Hanipa Maidin diminta untuk meminta maaf setelah membuat kenyataan berunsur seksis terhadap ahli Parlimen lain di Dewan Rakyat hari ini.

Di tengah-tengah sesi penggulungan semasa perdebatan mengenai Akta Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan), Hanipa membuat kenyataan terhadap Azalina Othman Said (BN-Pengerang).

Azalina telah mengajukan soalan kepada Hanipa untuk menjelaskan mengenai rang undang-undang tersebut.

“Saya tengah pasang cermin mata nak tengok YB Timbalan Menteri (Hanipa) dengan begitu jelas yang kadang-kadang nampak kecil kadang-kadang nampak besar…” katanya.

Ketika bangun untuk menjawab persoalan, Hanipa telah berkata: “ seperti apa yang dia katakan, saya kadang-kadang nampak gemuk dan kadang-kadang nampak kurus”.

“Sama seperti Pengeranglah, kadang-kadang nampak macam perempua, kadang-kadang macam lelaki”,” katanya.

Tindakan itu menimbulkan kekecohan dan menyebabkan ahli Parlimen pembangkang berdiri dan membidas kenyataan dibuat Hanipa.

Meskipun Hanipa telah meminta maaf, ahli Parlimen pembangkang masih tidak berpuas hati dengan kejadian itu.

Mahadzir Khalid (BN-Padang Terap) berkata tingkah laku Hanipa tidak wajar dan provokatif.

“Dia tidak menjalankan tugasnya (menjawab soalan ahli Parlimen) tetapi menggunakan peluang itu untuk meremehkan ahli Parlimen Umno dan PAS,” kata bekas menteri pendidikan itu.

Akibat kejadian itu Hanipa tidak dapat menjawab soalan diberikan dan Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon menerusikan undi untuk pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan). – 9 Oktober, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen