MENTERI Pengangkutan Anthony Loke hari ini menjelaskan kekeliruan mengenai keperluan baharu yang dikenakan ke atas pemandu e-hailing.
Beliau berkata pemandu e-hailing tidak perlu tergesa-gesa ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menukar kategori kenderaan mereka dari kenderaan persendirian (AB) kepada kenderaan peribadi (AH).
“AH sudah didaftarkan secara automatik dalam sistem mySIKAP di bawah JPJ.
“Kami ingin menjelaskan kekeliruan, pemandu tidak perlu pergi ke JPJ untuk menukar kategori kenderaan dari AB ke AH,” katanya di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.
Dilaporkan bahawa pemandu kini mempunyai dua syarat baharu untuk dipenuhi jika mereka mahu berada di jalan raya bermula Sabtu ini (12 Oktober).
Yang pertama pemandu perlu menukar kategori kenderaan mereka dari AB ke AH dan kedua perlu mempunyai permit kenderaan e-hailing (EVP) secara fizikal.
Loke berkata, adalah wajib bagi pemandu e-hailing untuk mempunyai EVP tetapi mereka tidak perlu mencetaknya.
“Jika mereka tidak mempunyai salinan fizikal, mereka masih boleh memandu kenderaan mereka.
“Cetakan itu hanya untuk rujukan. Syarikat perlu mengemukakan butiran pemandu ke Agensi Pengangkutan Awam Darat untuk mendapatkan permit,” katanya.
Beliau menambah, kategori AH tidak akan dipaparkan di dalam geran kenderaan mereka kerana ia masih dianggap barangan peribadi.
“Tidak ada dasar untuk pemandu e-hailing menukar status kenderaan mereka dari peribadi ke komersial,” katanya. – 9 Oktober, 2019.
Komen