Kempen Buy Malaysian First beri faedah pada semua kaum, kata Saifuddin


Ragananthini Vethasalam

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail berkata, keutamaan kementerian adalah membangunkan ekosistem perniagaan yag memberikan persaingan sihat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2019.

KEMPEN Buy Malaysian First adalah lebih baik berbanding hanya tertumpu kepada produk Muslim, kerana ia mempromosikan persaingan sihat yang memberi kelebihan kepada semua pengguna kata Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu menjawab soalan daripada Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berhubung pendirian kerajaan terhadap kempen Buy Muslim First.

Ismail yang merupakan bekas menteri itu juga menegaskan terdapat contoh yang mana logo halal ditampal pada barangan tidak halal.

Saifuddin berkata, keutamaan kementerian adalah membangunkan ekosistem perniagaan yag memberikan persaingan sihat, yang menyaksikan pengguna menikmati produk dan perkhidmatan terbaik.

“Ekosistem perniagaan domestik perlu berdasarkan prinsip seperti persaingan sihat, tiada pihak yang ditekanm dan tidak sepatutnya ada monopoli harga.”

Kementerian mahu memberi keutamaan kepada perniagaan yang menawarkan produk berkualiti dan harga berpatutan, tanpa mengira sama ada mereka Melayu atau bukan Melayu, katanya.

“Pendirian kementerian adalah bahawa kempen Buy Malaysian First adalah ideal ... Jika berjaya, semua kaum akan menikmati faedah.”

Beliau berkata terdapat produk Islam dan Bumiputera yang dijual oleh rangkaian pasar raya antarabangsa yang mencatatkan pulangan jualan tujuh angka.

Barangan yang berkualiti tinggi, halal dan dibungkus dengan baik mempunyai potensi untuk melakukan perkara yang sama, katanya. – 9 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen