Anwar selar 'politik bangang' fitnah gurauannya dengan Dr Mahathir, Mat Sabu


Ravin Palanisamy Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim pada sidang media selepas tamat program temu rapat ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan yang diadakan di Subang, Ahad lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim mengecam mereka yang memfitnahnya menggunakan perkataan “barua” dalam satu rakaman video yang menunjukkan perbualannya dengan Dr Mahathir Mohamad dan presiden Amanah Mohamad Sabu.

Anwar menafikan beliau menggunakan perkataan “barua” sebaliknya “maruah’, merujuk kepada Kongres Maruah Melayu hujung minggu lalu.

“Itu semua politik bangang,” katanya di lobi Parlimen, menjawab soalan wartawan yang meminta penjelasan mengenai rakaman video yang tular sejak semalam.

“Jangan fitnah, jelas ini gurauan saya dengan perdana menteri dan Mat Sabu (Mohamad).”

Anwar menjelaskan dalam gurauannya itu beliau berkata  “ini semua semangat maruah lepas Kongres Maruah (Melayu)”, yang didengar seolah-olah perkataan makian “barua”.

Dalam rakaman video itu, Anwar didengar mengulas “semangat lain macam” Dr Mahathir selepas menghadiri Kongres Maruah Melayu pada pagi Ahad lalu, beberapa jam sebelum rakaman perbualan itu.

Perbualan itu dirakam selepas sidang media selepas tamat program temu rapat ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan di Subang, pada petang Ahad.

Dalam satu lagi rakaman berasingan yang tular daripada sidang media sama, Dr Mahathir dilihat menunjuk aksi bertinju dengan Anwar, ketika menyifatkan soalan wartawan kepada presiden PKR itu seperti hendak melagakan mereka.

“Nak saya lawan dia? Okay lah, lawan,” kata Dr Mahathir, sambil menggayakan penumbuknya, diikuti bunyi gelak tawa mereka yang ada dalam sidang media itu.

Sementara itu, di Dewan Rakyat hari ini Mohamad diusik oleh pembangkang tentang gurauan Anwar itu.

“Abang Mat, kita dah tahu kongres untuk apa. Yang Berhormat PD (Port Dickson) dah jawab,” kata Ismail Mohamed Said (Kuala Krau-BN), merujuk kepada Anwar.

“Jangan kacau orang jawab soalan,” balas Menteri Pertahanan semasa sesi soal jawab pagi tadi.

Ismail terus mengacaunya dengan mengingatkan Mohamad “jadi saksi” atas apa yang Anwar sebut, adakah “maruah” atau “barua”.

Mohamad meneruskan jawapannya kepada soalan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-PAS), menyentuh soal program Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia untuk meningkatkan aspek kerohanian anggota tentera, antaranya kelas membaca al-Quran.

“Supaya kalau dia sebut tu betul, kalau maruah sebut maruah,” kata Mohamad disambut ketawa ahli Dewan Rakyat.

Berapa ahli Parlimen pembangkang kemudian menyampuk membawa semula topik kepada soal “maruah” atau “barua”.

Mohamad Sabu sambil tersenyum menjawab: “Sebutan kena betul dengan sebutan kalimah Arab.”

Mohamad Sabu kemudian meneruskan jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Pasir Mas.

“Terima kasih, ganggu jangan lebih-lebih,” katanya, menutup jawapan. – 9 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen