PERBICARAAN Najib Razak berhubung kes 1MDB memasuki hari ke-19 hari ini dengan saksi pendakwaan kesembilan, bekas CEO Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) Shahrol Azral Ibrahim Halmi, kembali mengambil tempat untuk pemeriksaan balas.
Semalam, Shahrol memberitahu mahkamah yang beliau tidak pernah melihat dokumen yang mempunyai tandatangan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, berkaitan dana pelaburan negara.
Saksi itu bagaimanapun berkata, ia tidak memberi sebarang amaran kepadanya kerana Low tidak pernah dilantik ke mana-mana jawatan rasmi dalam 1MDB.
Shahrol, 49, juga bersetuju yang beliau mungkin dilantik untuk menerajui entiti itu pada 2009 kerana tiada pengalaman dalam hal kewangan.
Shahrol dilantik mengetuai syarikat asal 1MDB, TIA pada 23 Mac 2009 atas cadangan Jho Low.
Shahrol memberi keterangan yangbeliau bertemu Jho Low pada 2007, ketika bertugas sebagai pengarah urusan sebuah syarikat perunding Accenture. KLow ketika itu merupakan pengarah urusan Kumpulan Perbankan Utama.
Najib 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram bagi jumlah yang sama.
Pihak pendakwaan menuduh bekas perdana menteri itu berkomplot dengan Low yang kini dalam pelarian, untuk menipu syarikat pelaburan negara itu.
Tertuduh diwakili sepasukan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pihak pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah.– 9 Oktober, 2019.
The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
4.31pm: Perbicaraan bersambung esok.
4.30pm: Shafee menamatkan pemeriksaan balasnya untuk hari ini.
4.02pm: Mereka menyemak minit Mesyuarat Jemaat Menteri yang meluluskan bon RM5 bilion dari TIA.
3.05pm: Shafee mencadangkan urusan Low dengan AmBank merupakan tuduhan serius yang dibuat oleh akhbar The Edge.
Shafee berkata ia menjadi isu kepentingan awam. Beliau kemudian menunjukkan kepada saksi artikel yag disiarkan The Edge pada 4 Februari.
Artikel itu menyebut, dua syarikat membeli bon TIA secara rahsia pada harga diskaun dan kemudian menjual semula untuk keuntungan hampir RM500 juta adalah berkaitan dengan Low.
2.38pm: Perbicaraan bersambung.
12.42pm: Mahkamah berhenti rehat.
12.26pm: Shahrol berkata Najib bertanya kepadanya mengapa pihak istana Terengganu marah kepada Low.
12.23pm: Shafee cadangkan kepada Shahrol bahawa Low yang memberitahu Najib pembatalan bon TIA beri kesan buruk kepada kerajaan.
Shahrol bersetuju Low yang mencadangkannya.
12.18pm: Shafee mencadangkan Sultan Terengganu mempunyai tanggapan bahawa Low terlibat dalam penipuan.
Shahrol bersetuju namun berkata beliau tidak boleh bercakap bagi pihak sultan.
11.52am: Shafee mencadangkan Low sudah biasa merancang perjanjian palsu untuk tipu kerajaan.
11.35am: Hakim Sequerah terganggu apabila telefon bimbit seseorang berbunyi ketika perbicaraan.
Beliau memberitahu pendaftar mahkamah untuk maklumkan mereka yang duduk di galeri awam sekiranya perkara itu berulang, beliau akan rampas semua telefon bimbit dan halang mereka daripada memasuki mahkamah.
Shafee meneruskan pemeriksaan balas.
Shafee mencadangkan kumpulan Low menghasilkan kira-kira AS$120 juta dalam tempoh satu malam untuk syarikatnya.
Shahrol berkata Low tidak memaklumkan kepada lembaga pengarah mengenai “aturan rahsia” itu.
11.28am: Perbicaraan bersambung. Shafee meneruskan pemeriksaan balas.
10.44am: Hakim benarkan rehat untuk saksi meneliti beberapa dokumen.
10.13am: Shahrol mengesahkan beliau tidak pernah bertemu pegawai Bank Negara berhubung pengeluaran bon.
Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh Low dan pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu yang mereka telah bertemu pegawai bank pusat.
Shahrol mengesahkan beliau tidak pernah memaklumkan kepada lembaga pengarah bahawa hanya Low dan Yu yang berjumpa pegawai Bank Negara.
Beliau bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa lembaga pengarah TIA mungkin beranggapan Shahrol yang bertemu dengan pegawai bank pusat.

10.06am: Shahrol mengesahkan Goldman Sachs Singapura dilantik sebagai penasihat kewangan untuk pengeluaran bon TIA, yang dirujuk sebagai bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).
Beliau berkata hanya bekas pengerusi lembaga pengarah 1MDB Bakke Salleh yang menunjukkan perbezaan jumlah yang dibangkitkan daripada IMTN, iaitu RM5 bilion, dan jumlah yang diterima oleh TIA.
10.03am: Shafee tunjukkan kepada Shahol satu dokumen dari AmBank bertarikh 27 Mei, 2009. Ia berkaitan pengeluaran bon yang dibuat oleh TIA. TIA menerima RM4.3 bilion daripada AmInvestment.
Shahrol berkata beliau tidak pernah lihat dokumen itu atau membuat sesuatu untuk mendapatkannya.
“Pada masa itu saya tidak tahu CEO 1MDB akan menuntut butiran ini,” katanya.
9.55am: Shahrol mengambil tempat untuk diperiksa balas.
9.54am: Perbicaraan bermula.

Komen