PAKATAN Harapan membentangkan Rang Undang-Undang Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NAFCC) di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama hari ini, yang diwujudkan berikutan skandal kewangan pentadbiran sebelum ini.
Sebaik sahaja diluluskan, undang-undang itu akan membolehkan kerajaan menubuhkan pusat bagi menyelaras operasi berkaitan jenayah kewangan dalam kalangan entiti kerajaan dan agensi penguatkuasaan.
Rang undang-undang itu yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong juga menyediakan sistem pengurusan data berpusat.
Antara skandal yang menyelubungi kerajaan terdahulu adalah penyalahgunaan dana 1Malaysia Development Berhad yang turut menjangkau ke beberapa negara dan kini dibicarakan di mahkamah.
Menurut Seksyen 4 rang undang-undang berkenaan, NAFCC akan menyelaraskan dan bekerjasama dalam operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan dan memberikan khidmat nasihat kepada mereka.
NAFCC juga akan menubuhkan, mentadbir dan menyekaras sistem data berpusat berkaitan jenayah kewangan. NAFCC yang dicadangkan akan menjakankan aktiviti berkaitan pencegahan jenayah kewangan.
Menurut rang undang-undang itu, NAFCC juga akan mempunyai lembaga penasihat yang terdiri daripada pengerusi, ketua pengarah dan lima ahli yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat perdana menteri.
Pengerusi dan ahli yang lain akan memegang jawatan itu selama tiga tahun yang mana selepas tempoh itu, ia memerlukan pelantikan semula.
Rang undang-undang NAFCC juga memberi mandat kepada ahli lembaga penasihat untuk mendedahkan sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam perkara yang dibincangkan.
Ahli lembaga yang gagal mendedahkan kepentingan mereka boleh didenda RM500,000 atau dipenjara sehingga lima tahun.
Antara fungsi lembaga itu ialah menasihati perdana menteri mengenai jenayah kewangan, NAFCC dan memutuskan cadangan yang dibuat oleh jawatankuasa eksekutif.
Di bawah Seksyen 15 rang undang-undang, NAFCC boleh meminta apa-apa maklumat daripada mana-mana individu, entiti kerajaan, atau agensi penguatkuasa untuk tujuan operasi bersepadu atau pencegahan jenayah kewangan.
Seksyen 16 rang undang-undang juga memberi kuasa kepada NAFCC untuk mengumpulkan maklumat berkaitan jenayah kewangan.
Rang undang-undang juga memperuntukkan perlindungan NAFCC terhadap guaman dan prosiding undang-undang untuk sebarang kerja jenayah anti-kewangan. – 8 Oktober, 2019.
Komen