Bekas CEO 1MDB setuju mungkin ditawar kerja kerana tiada pengalaman


Bede Hong

Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dilantik menerajui TIA pada 23 Mac 2009 selepas dicadangkan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Oktober, 2019.

PEGUAM bela kepada Najib Razak cuba menghancurkan kredibiliti saksi pendakwaan apabila mempertikaikan kelayakannya menerajui syarikat pelaburan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari setuju dengan pandangan peguam Shafee Abdullah bahawa beliau mungkin diambil bekerja untuk memimpin entiti itu pada 2009 kerana tidak mempunyai pengalaman dalam hal kewangan.

Shahrol dilantik mengetuai syarikat asal 1MDB, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada 23 Mac 2009 atas cadangan Jho Low.

Saksi pendakwaan dalam perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beliau tidak memiliki pengetahuan tentang perkara pengumpulan dana semasa dilantik.

Semasa soal balas, ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan kekurangnya pengetahuan mengenai bidang itu menyebabkan Shahrol memperoleh jawatannya.

Shafee: Adakah anda fikir Jho Low mengambil dengan anda kerana anda tidak tahu apa-apa mengenai kewangan dan membolehkan beliau mengawal anda?

Shahrol: Pada masa itu, saya tidak fikir begitu.

Shafee: Sekarang, selepas diingat kembali?

Shahrol: Itu satu kemungkinan.

Najib, 66, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah yang sama.

Pendakwa menuduh beliau bersekongkol dengan Low untuk menipu firma pelaburan negara.

Shahrol memberi keterangan bertemu Low pada 2007, ketika bekerja sebagai pengarah urusan di sebuah firma perundingan, Accenture.

Low, anak kelahiran Pulau Pinang ketika itu menjadi pengarah urusan di Utama Banking Group.

Shahrol berkata Low yang membawanya ke istana Terengganu di Kuala Lumpur pada 21 Mac 2009 untuk bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Hadir pada pertemuan itu ialah adik ipar sultan, Abdul Aziz Mohd Akhir, serta bekas pengarah 1MDB Azlan Zainol dan Ismee Ismail, katanya kepada mahkamah.

Beliau berkata tidak pernah menyembunyikan kekurangan pengalamannya dalam mendapatkan dana daripada lembaga pengarah TIA dan pihak berkepentingan, termasuk Sultan Mizan.

“Saya dipanggil ke istana. Saya diperkenalkan kepada Agong (ketika itu), dan saya diberi tawaran itu. Sekiranya saya tidak berkelayakan dalam beberapa aspek, maka orang yang melantik saya yang sepatutnya lebih tahu.”

Shafee bertanya sama ada Shahrol memberitahu Low beliau tidak mempunyai pengalaman langsung mengenai mencari dana.

Saksi berkata beliau ada berbuat demikian. – 8 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen