MAHASISWA Universiti Malaya (UM) sepatutnya mengadakan pertemuan terlebih dahulu sebelum meminta naib canselor mereka meletak jawatan, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.,
Kataya beliau mencadangkan demikian supaya pemimpin pelajar berkenaan dapat menyuarakan pandangan secara terbuka kepada naib canselor universiti itu, Abdul Rahim Hashim.
“Itu pendapatnya, saya cadangkan jumpa naib canselor sendiri daripada buat kenyataan media, biar dia suarakan rasa tak puas hati dengan naib canselor secara terbuka.
“Saya percaya naib canselor cukup terbuka dan boleh dengar pendapat pelajar, saya minta pelajar jumpa naib canselor,” kata Maszlee, ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau juga memberi jaminan tidak akan mengenakan sebarang tindakan ke atas pelajar terbabit, Naib Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa UM Yap Wen Qing yang menyuarakan tuntutan itu.
“Kita bukan (di) zaman BN,” kata Maszlee, ketika ditanya sama ada kementerian akan mengambil tindakan terhadap Yap.
Yap menggesa Rahim meletakkan jawatan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, hujung minggu lalu.
Rahim yang juga merupakan salah seorang penganjur program itu mendakwa peralihan kuasa yang berlaku semasa 9 Mei 2018 menghilangkan dominasi politik Melayu.
Beliau juga mendakwa hak istimewa orang Melayu telah dipersoalkan susulan peralihan kuasa itu dan turut memberi peringatan agar tidak mencabar kontrak sosial.
Satu petisyen atas talian turut diwujudkan menuntut kesemua empat naib canselor IPTA itu meletakkan jawatan kerana telibat menganjurkan kongres tersebut.
Kongres berkenaan dianjurkan empat institusi pengajian tinggi awam termasuk UM, Universiti Teknologi Mara, Universiti Pendidikan Sultan Idris, dan Universiti Putra Malaysia. – 8 Oktober, 2019.
Komen