Dr Mahathir tolak pelawaan Umno tubuh kerajaan dengan PAS


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menolak pelawaan Umno untuk menjaga kepentingan orang Melayu dengan menubuhkan kerajaan bersama PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2019.

DR Mahathir Mohamad menolak pelawaan Umno untuk menjaga kepentingan orang Melayu dengan menubuhkan kerajaan bersama PAS.

Perdana menteri menegaskan Malaysia adalah negara berbilang kaum dan tidak sewajarnya kerajaan dibentuk semata-mata daripada sesuatu kaum saja.

“Kita tidak minat untuk membuat kerajaan baharu. Kita sedar negara kita berbilang kaum dan pihak kerajaan daripada kita merdeka sehingga sekarang mempunyai ahli yang terdiri daripada semua kaum.

“Itu satu hakikat yang kita tidak boleh tolak bahawa negara kita adalah negara berbilang kaum dan semua kaum mempunyai hak dalam negara kita,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen.

Beliau menjawab pelawaan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang menyebut penubuhan kerajaan baharu itu untuk memulihkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Dalam kenyataan di Facebook, Mohamad berkata pelawaan itu berdasarkan dakwaan bahawa majoriti orang Melayu dan Islam sudah membuat keputusan menolak PH.

Adun Rantau itu berkata kerajaan yang dicadangkannya itu boleh ditubuhkan bersama-sama BN, PAS serta parti dari Sabah dan Sarawak. – 8 Oktober, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen