LANGSUNG: Bekas CEO 1MDB kata tidak pernah jumpa Najib sebelum lantikan ke TIA


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi kembali memberi keterangan pada perbicaraan melibatkan Najib Razak yang masuk hari ke-18 hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Oktober, 2019.

SAKSI kesembilan pihak pendakwa, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Shahrol Azral Ibrahim Halmi kembali memberi keterangan ketika perbicaraan Najib Razak masuk hari ke-18 hari ini.

Shahrol akan disoal balas semula oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abullah.

Semalam, beliau memberi keterangan bahawa perantara 1MDB Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, terpaksa tidak terlalu menonjolkan diri kerana ahli politik Umno “dengki” hubungannya dengan bekas perdana menteri Najib.

“Ada perasaan dengki antara orang Umno terhadap pengaruh Jho Low dan akses terhadap Datuk Seri Najib,” kata Shahrold kepada mahkamah.

Shahrol juga memberitahu mahkamah beliau hanya berasa curiga dengan aktiviti jenayah Low sebagaimana didakwa apabila pihak berkuasa mengesahkan dana pelaburan negara pada 2015.

Saksi berusia 49 tahun itu berkata beliau percaya Low sepenuhnya antara 2009 dan 2015. Shahrol adalah CEO dari 2009 hingga 2013 dan kekal dalam lembaga pengarah 1MDB sehingga 2016.

Najib sedang berdepan perbicaraan berhubung empat tuduhan penyalahgunaan kuasa bagi suapan bernilai RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah sama.

Tertuduh berusia 66 tahun itu berdepan 20 tahun penjara jika disabitkan kesalahan.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan, sementara hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah mempengerusikan perbicaraan.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

4.39pm: Mahkamah ditangguhkan.

3.40pm: Shafee bertanya Shahrol mengenai dokumen dan akaun TIA.

Hakim Sequerah mencelah dan bertanya tujuan soalan. Shafee berkata beliau cuba mengenal pasti masa yang tepat bila kerajaan Terengganu dan kerajaan persekutuan berbalah berhubung TIA.

3.21pm: Shafee bertanya Shahrol sama ada beliau pernah berjumpa Najib sebelum pelantikannya di TIA.

Shahrol menjawab tidak.

Shafee: Kamu setuju Najib tak pernah lantik kamu sebagai CEO?

Shahrol: Pada mulanya, ya.

3.08pm: Shahrol kembali mengambil tempat.

1.00pm: Mahkamah berhenti rehat.

12.30pm: Mahkamah meneliti dokumen berhubung pembentukan TIA.

11.42am: Shafee bertanya penglibatan Najib pada peringkat permulaan Terengganu Investment Authority (TIA).

11.30am: Mahkamah bersidang.

10.55am: Mahkamah berehat sebentar.

10.08am: Shafee mencadangkan Low mengenali Sultan Terengganu sebelum Najib mengenalinya.

Shahrol berkata dengan mengingatinya kembali dan berkata beliau tahu.

10.07am: Shahrol berkata pegawai istana Terengganu mempersoalkan peranan Low. Beliau berkata hubungan kerabat diraja dan Low tidak baik.

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan 1MDB hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Oktober, 2019.

10.02am: Shafee memberitahu Shahrol bahawa Low bukan satu-satunya individu yang terlibat - Casey Tang, Terence Geh dan Nik Faisal Ariff Kamil turut terlibat dan Low mungkin dalam keadaan terkawal.

Shahrol: Saya tidak tahu ini hal ini berlaku. Saya melihatnya sebagai mewakili Najib sahaja.

10.02am: “Anda bukan salah seorang yang tidak bercita-cita tinggi. Ia satu perkara yang baik jika anda bukan salah seorang daripada mereka. Saya tidak tahu mengapa anda mengambil masa yang lama untuk menjawab,” kata Shafee.

Shahrol: Ya, saya bukan orang yang begitu

Shafee: Dalam kenyataan anda, anda berkata mahu memajukan kerjaya anda ke tahap lebih tinggi. Apa sahaja definisi anda - Oxford atau Dwibahasa - anda masih mempunyai cita-cita.

Shahrol bersetuju.

Shafee: Adakah anda fikir alasan tidak tahu mengenai kewangan menjadi sebab Jho Low mendekati anda? Supaya beliau boleh mengendalikan kewangan?

Shahrol: Pada masa itu, saya tidak fikir begitu, tetapi ada kemungkinan.

9.55am: Shahrol berkata tidak pernah meminta tugasan itu dan diberi menjalankannya oleh Sultan Terengganu. Shahrol berkata pernah memberitahu Jho Low bahawa beliau tidak mempunyai pengalaman dalam mencari dana:

“Saya tidak pernah meminta kerja itu, ia diberikan kepada saya oleh Sultan Terengganu,” katanya.

Shafee: Sekarang, kita pergi kepada perkataan “bercita-cita tinggi”. Pastinya anda seorang yang bercita-cita tinggi dalam dunia korporat.

Shahrol: Takrif kamus Oxford mengenai ‘bercita-cita tinggi’ adalah untuk berjaya mengenai sesuatu. Jika anda mengatakan saya cuba menyembunyikan kebolehan saya untuk mengumpul dana, maka itu tidak betul.

9.50am: Shafee bertanya Shahrol mengenai peranannya dalam mengumpul dana bagi 1MDB semasa beliau menjadi CEO.

9.42am: Mahkamah bersidang. – 8 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen