DENGAN hanya bayaran melalui “bawah meja” antara RM400 hingga RM800, pemandu e-hailing dijamin memperoleh Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) tanpa perlu melalui sebarang proses, kata pemandu kepada The Malaysian Insight.
“Pakej” juga termasuk “jaminan” kenderaan mereka akan lulus pemeriksaan tahunan dan mereka lulus pemeriksaan kesihatan.
Syarikat e-hailing terbesar Grab berkata mereka menyedari penipuan tersebut tetapi menyerahkan sepenuhnya kepada Kementerian Pengangkutan untuk mengambil tindakan.
Jurucakap Grab berkata, pihaknya menerima aduan mengenai isu itu.
Seorang pemandu e-hailing yang enggan disiarkan namanya berkata, sesetengah pemandu memperoleh “lesen terbang” melalui sindiket berkenaan.
Beliau berkata pemandu tidak perlu menghadiri kelas memandu wajib selama enam jam dan tidak perlu berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan perubatan.
Mereka juga boleh mendapatkan lesen PSV dalam waktu singkat iaitu selama tiga jam.
Menurutnya, dia didekati sindiket berkenaan ketika pergi ke akademi memandu untuk mendaftar kelas lesen PSV.
“Saya mendapat panggilan telefon dalam masa beberapa hari daripada seseorang yang bertanya sekiranya saya berminat dengan pakej untuk lulus peperiksaan PSV.
“Pakej itu bernilai RM400. Saya dapati ia berpatutan dan saya terima.
“Saya hadiri ‘peperiksaan’, saya isi nama saya dan saya lulus,” katanya.
Harga pakej adalah di antara RM400 dan RM800 termasuk RM150 hingga RM200 “yuran” untuk perantara.
The Malaysian Insight juga memeriksa iklan yang diedarkan di media sosial yang menawarkan perkhidmatan percuma yang cepat dan mudah.
Apa yang diperlukan selain yuran adalah gambar saiz pasport, salin fotostat lesen memandu, “kad hijau” kereta dan alamat untuk pengeposan lesen PSV berkenaan.
Pemandu dijamin untuk memperoleh lesen mereka dalam tempoh tiga jam atau satu hingga tiga hari bekerja jika dihantar melalui pos.
Seorang lagi pemandu berkata, pemohon masih perlu hadir sendiri ke peperiksaan itu kerana cap jari diperlukan untuk mengesahkan kehadirannya. – 8 Oktober, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen