SUBSIDI petrol bersasar yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan hanya penyelesaian jangka pendek untuk masalah kos sara hidup rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Shani Abdullah berkata, hakikatnya mekanisme pelaksanaan polisi itu masih kabur apabila kerajaan tidak menyenaraikan M40 sebagai penerima layak subsidi petrol.
“Tapi jika subsidi petrol ini hanya mahu mensasarkan golongan B40 kita boleh katakan skim baharu ini baik.
“Tapi soalnya ia tidak begitu. Tujuan subsidi adalah tidak ada satu golongan yang memerlukan ketinggalan. Jadi mekanisme itu kita kena lihat dan kaji dengan betul,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Beliau berkata antara kelompongan dalam skim subsidi bersasar itu ialah kaedah pembayaran yang disifatkan mempunyai kebaikan dan keburukan.
“Subsidi dulu memang banyak pembaziran sebab diberikan kepada semua dan bukan golongan sasar. Cara yang lebih baik sudah tentu bayaran terus diberikan kepada pengguna golongan sasar.
“Tapi yang kontra dengan pembayaran terus ini mungkin ada ruang salah gunanya juga, kita tidak tahu rakyat akan guna betul untuk isi minyak atau benda lain,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas pengumuman kerajaan yang akan mengapungkan harga petrol RON95 bermula Januari tahun depan apabila program subsidi petrol dilaksanakan untuk golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH).
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail hari ini.
Menurut Saifuddin, subsidi itu akan dibayar empat bulan sekali pada kadar RM48 bagi pemilik motosikal dan RM120 bagi pemilik kereta di Semenanjung Malaysia.
Ini menjadikan pemilik motosikal menerima bantuan subsidi RM12 sebulan manakala pemilik kereta RM30 sebulan.
Dengan pengapungan itu juga, harga petrol RON 95 akan mengikut pasaran semasa namun kerajaan akan terus memantau pergerakannya, kata Saifuddin.
Tambah baik sistem pengangkutan awam
Dalam pada itu, Mohd Shani menyarankan kepada kerajaan untuk menambah baik sistem pengangkutan awam termasuk menyediakan 1,000 bas sebagai alternatif kepada golongan M40.
Katanya cadangan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban M40 yang akan berdepan dengan penambahan kenaikan kos sara hidup susulan daripada pelaksanaan skim tersebut.
“Memang kita faham kerajaan nak bantu B40 dan M40 ini pendapatan mereka lebih tinggi mereka juga patut diberi alternatif lain seperti tambah baik sistem pengangkutan, capaian ke stesen lebih baik dan sehingga ke rumah sebab itu kita perlukan tambahan 1,000 bas,” katanya.
Sementara itu, presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda berkata, biarpun beliau menyambut baik dasar baharu tersebut namun penelitian semula mekanisme subsidi petrol itu harus dikaji semula.
Katanya ia seperti tempoh pembayaran kepada pemilik yang akan dikreditkan empat bulan sekali dilihat terlalu panjang.
“Kalau boleh kita minta pendekkan sedikit tempoh empat bulan tu. Dan pertimbangkan juga untuk ada rebat pada hujung sekurang- kurangnya rakyat boleh merancang perbelanjaan,” katanya.
Beliau turut menyentuh jumlah subsidi yang diberikan kerajaan kerana rakyat mungkin melihat ia terlalu sedikit.
“Rakyat mungkin melihat RM30 sebulan ini kecil mereka tak nampak kerana mengikut perbelajaan individu mereka.
“Tapi perkiraan kerajaan mungkin dari sudut ‘volume’ yang besar apabila subsidi minyak ini diberikan.
“Dan kena lihat juga faktor jarak rumah dan tempat B40. Kebanyakan B40 ini rumahnya jauh di pinggir bandar sebab tak mampu beli rumah di bandar jadi itu pun kita perlu ambil kira,” katanya.
Azih berkata kerajaan juga tidak harus meminggirkan golongan M40 dalam subsidi tersebut.
Menurutnya golongan M40 juga berhak terutama apabila mereka pihak yang banyak ditekan untuk membayar cukai.
“Golongan yang lain juga terbeban jadi kerajaan tak harus fikir satu pihak. Mereka ini pembayar cukai tapi pada masa sama mereka tidak dapat subsidi ini menjadikan mereka turut menanggung kos sara hidup,” katanya. – 7 Oktober, 2019.
Komen