Kesatuan mahasiswa UM desak naib canselor letak jawatan 


Ragananthini Vethasalam

Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Malawati di Shah Alam semalam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2019.

KESATUAN Mahasiswa Universiti Malaya menggesa naib canselor Abdul Rahim Hashim meletakkan jawatan berikutan ucapannya pada Kongres Maruah Melayu yang didakwa bersifat perkauman.

Naib presidennya Yap Wen Qing berkata gesaan itu dibuat terhadap Abdul Rahim kerana mengeluarkan hujah-hujah yang bersifat perkauman, pada masa tidak mampu untuk menyelesaikan krisis kewangan dan kebajikan mahasiswa di universiti terunggul di Malaysia itu.

Abdul Rahim yang juga merupakan salah seorang penganjur program itu mendakwa peralihan kuasa yang berlaku semasa 9 Mei 2018 telah menghilangkan dominasi politik Melayu manakala hak istimewa orang Melayu telah dipersoalkan. Katanya, kongres ini diadakan adalah untuk memberi peringatan bahawa jangan mencabar kontrak sosial.

“Justeru, kami menuntut semua pemimpin politik yang mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman semasa Kongres Maruah Melayu meminta maaf kepada semua warga Malaysia, kami juga menggesa naib canselor UM meletakkan jawatan atas sifat perkauman dia dan kegagalannya dalam menguruskan kampus,” kata Yap dalam satu kenyataan hari ini.

Yap berkata, walaupun UM merupakan sebuah universiti yang terdiri daripada mahasiswa berbilang kaum dan agama, Rahim tidak berupaya menyatupadukan mahasiswa dan seluruh rakyat Malaysia menggunakan nilai-nilai yang bersifat kesederhanaan dan universal, dan melindungi universiti daripada ancaman agenda politik pentadbir.

“Tambahan pula, Bahagian Hal-Ehwal Pelajar (BHEP) yang dipimpin olehnya telah memaksa setiap kolej kediaman menghantar mahasiswa Melayu untuk menghadiri kongres tersebut.

“Ini adalah perbuatan yang mengugat autonomi seseorang mahasiswa, hal ini demikian kerana setiap mahasiswa dalam kampus berhak untuk meneroka pelbagai jenis falsafah dan pemikiran, mereka tidak harus didoktrin dengan naratif-naratif tertentu oleh pihak universiti,” kata Yap.

Tambahnya, pihak universiti masih memainkan isu kaum di hadapan mahasiswa-mahasiswi bukan Melayu.

“Kami berasa sangat kecewa atas kegagalan Universiti Malaya dalam mempertahankan nilai-nilai majmuk di Malaysia,” kata Yap.

Kongres Maruah Melayu yang sepatutnya membincangkan hal-hal Melayu menggunakan perspektif akademik tanpa motif politik telah dijadikan sebuah medan untuk melemparkan kata-kata perkauman, katanya.

Merujuk kepada kenyataan eksekutif sekretariat kongres Zainal Kling yang memberi amaran untuk menggantung kontrak sosial, Yap berkata kenyataan itu tidak menghormati semua kaum, budaya dan agama di Malaysia.

Zainal berkata, walaupun ramai orang bukan Melayu diberikan taraf kewarganegaraan, masih ada yang meremehkan kontrak sosial.

“Dalam budi baik kita ada orang ingin menyeleweng, memainkan kita, mengusik maruah, merendahkan agama Islam, mengeji raja dan kedudukan kita. Mereka berpaling tadah daripada kontrak sosial yang kita bina sebagai perundangan asas negara yang dinamakan Perlembagaan.

“Meskipun kita beri kerakyatan kerana sejarah lalu, namun mereka sering melanggar baik budi, anugerah dan ada yang menafikan kontrak sosial yang telah kita bina,” kata Zainal ketika berucap pada kongres berkenaan. – 7 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen