UMNO masih belum membuat sebarang keputusan berhubung tindakan kompaun yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, kata setiausaha agungnya, Annuar Musa.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, Umno bagaimanapun akan membawa perkara itu ke mahkamah sekiranya mereka tidak bersetuju dengan tindakan itu.
“Biar proses undang-undang dijalankan. Kalau mereka yang terlibat tak setuju mereka boleh cabar di mahkamah.
“Parti tidak buat apa-apa keputusan sekarang. Kalau parti tak setuju kita boleh bawa ke mahkamah,” kata Annuar, kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Parlimen, hari ini.
Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya hari ini mengumumkan agensi anti rasuah itu mengeluarkan kompaun terhadap 80 pihak termasuk 43 pertubuhan politik Barisan Nasional (BN), Umno, MCA, MIC, Parti Rakyat Sarawak, Gerakan dan PPP, serta empat pusat khidmat kawasan Parlimen.
Bekas pengerusi Kumpulan CIMB Mohd Nazir Razak bersama bekas timbalan menteri kewangan Ahmad Maslan dan bekas menteri dan bekas pengerusi Felda Shahrir Samad adalah antara individu yang turut dinamakan.
Ahmad dalam kenyataannya hari ini bagaimanapun menafikan pihaknya menerima dana berkait 1MDB.
Notis kompaun itu melibatkan tuntutan ke atas dana keseluruhan berjumlah RM420 juta yang mereka terima dalam bentuk cek dari akaun bank Najib.
Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), selepas mendapat izin mendakwa daripada peguam negara, kata Latheefa.
Beliau berkata mereka yang menerima notis kompaun itu diberi masa dua minggu untuk membayar denda itu, atau berdepan tindakan di bawah Seksyen 92(3) akta yang sama. – 7 Oktober, 2019.
Komen