RUSSELL Michael cukup bersemangat apabila bercakap tentang bagaimana dia impikan Sabah mempunyai autonomi yang lebih untuk menguruskan hal ehwalnya seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Namun dia putus asa mahu memilih parti politik mana yang boleh dia letakkan kepercayaan untuk memenuhi impiannya itu.
Dilema Michael ini sebenarnya adalah trend yang mula ketara dalam kalangan pengundi di Sabah ketika negara semakin menghampiri musim Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata penganalisis.
Mereka mendesak autonomi dan pemulangan hak-hak Sabah yang dijamin tetapi tidak dilaksanakan di bawah MA63.
Tetapi pada masa sama, mereka jelak dengan parti-parti politik yang berjanji mahu mengembalikan hak-hak di bawah MA63 itu.
Daripada empat pilihan utama yang ada di Sabah — Barisan Nasional (BN) yang memerintah; parti-parti pembangkang yang bergabung di bawah Gabungan Sabah; parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia, Pakatan Harapan (PH) dan parti pembangkang baru, Parti Warisan Sabah (Warisan) — tidak ada satu pun yang dia berkenan.
Tetapi bagi aktivis politik dalam Gabungan Sabah, Alfred Korom, 43, rasa kecewa dan marah itu boleh difahami tetapi ia cukup membimbangkan.
“Bukan itu caranya. Tidak boleh tidak keluar mengundi, tidak boleh. Kalau mahu mendapatkan hak-hak itu, mesti melalui jalan politik dan jalan politik ialah dengan mengundi memilih kerajaan,” katanya.
MA63
MA63 ialah perjanjian antarabangsa yang ditandatangani antara United Kingdom, Malaya, Sabah (ketika itu Borneo Utara), Sarawak dan Singapura pada 9 Julai 1963, yang membawa kepada pembentukan Malaysia lebih kurang dua bulan kemudian.
Perjanjian itu kemudiannya dilaksanakan secara perundangan di Malaysia melalui Akta Malaysia 1963, pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan serta perlembagaan Sabah dan Sarawak, yang menggariskan hak-hak autonomi kedua-dua wilayah yang dikenali sebagai Memorandum 20 Perkara bagi Sabah dan Memorandum 16 Perkara bagi Sarawak.
Hak-hak Sabah dan Sarawak itu juga terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), sebuah badan yang sepatutnya menentukan kedudukan masa depan serta melindungi hak-hak yang ada pada Sabah dan Sarawak selepas pembentukan Malaysia.
Hak-hak itu kemudian terhakis apabila status Sabah dan Sarawak bertukar daripada “rakan kongsi setara” kepada hanya sebahagian daripada 13 negeri dalam Malaysia melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1976.
Isu MA63 kembali hangat terutamanya sejak selepas PRU13 apabila Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem pada 2016 bercadang mengemukakan usul di Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk menuntut hak-hak autonomi negeri itu. Adenan bagaimanapun kemudian mengumumkan cadangan usul itu tidak akan dibentangkan di DUN.
Menurut Michael, lama sebelum Sarawak “berani” menyuarakan tentang hak autonomi, pemimpin Sabah sudah lama “berbisik-bisik” menuntut hak tersebut — berbisik-bisik, katanya, kerana ditakut-takutkan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.
Dr Jeffrey Kitingan pada 1991 ditahan selama tiga tahun di bawah ISA, ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri, atas dakwaan mahu membawa Sabah keluar dari Malaysia. Beliau ketika itu menyuarakan hak di bawah 20 Perkara dan hak royalti petroleum untuk Sabah.
Setelah kerajaan BN dilihat lemah selepas PRU12 pada 2008, Jeffrey meneruskan perjuangan dengan menubuhkan Barisan Bersatu Borneo (UBF) sebagai sebuah platform untuk menuntut semula hak Sabah dan Sarawak.
“Itu sebabnya dalam pilihan raya kali ini, tidak kisahlah kalau kita beri Parlimen sama BN tapi negeri kita mesti ambil daripada BN,” kata Michael.
Muka lama
Tetapi bagi pengundi seperti Michael, imej Jeffrey tercemar walaupun reputasinya sebagai pejuang hak Sabah boleh dikatakan cemerlang kerana katanya, pemimpin kontroversi itu “katak politik”.
Jeffrey masuk dan keluar parti politik seperti ganti baju, pernah menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Angkatan Keadilan Rakyat (Akar), dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).
Beliau pernah juga memohon jadi ahli Umno, tetapi ditolak. Antara 2006 hingga 2010, beliau adalah naib presiden PKR.
Jeffrey kemudian mengasaskan Parti Reformasi Negeri (Star) pada 2012, yang menjadi sekutu kepada Star di Sarawak pimpinan Patau Rubis. Apabila Lisa Soo, yang menggantikan Rubis yang meninggal dunia pada Mac 2016, menjenamakan semula Star Sarawak menjadi Reform, Jeffrey memutuskan berdiri sendiri dengan nama Star iaitu Solidariti Tanah Airku.
Beliau kemudian membentuk pakatan baru dengan nama Gabungan Sabah bersama tiga parti lain: Parti Maju Sabah (SAPP), yang diketuai Yong Teck Lee, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) yang diketuai Lajim Ukin dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPR) yang diketuai Arshad Abdul Mualap.
Kepada PH, yang juga baru-baru ini mengemukakan “tawaran baru” untuk Sabah dan Sarawak, Michael juga tidak akan memberikan undinya. Katanya, hanya baru sekarang pemimpin PH bersungguh-sungguh bercakap tentang hak Sabah dan Sarawak.
Kepada Warisan yang ditubuhkan oleh Shafie Apdal selepas keluar Umno setahun yang lalu, dia juga tidak akan memberikan undinya. Dia merasakan Shafie juga tidak jujur memperjuangkan hak-hak itu.
“Kenapa baru sekarang?” soalnya.
Menurut Michael, bukan dia seorang yang bersikap seperti itu.
“Kawan-kawan saya juga sama, tidak ada rasa mahu mengundi dalam pilihan raya nanti,” katanya.
Walaupun bimbang, Korom optimis sentimen dalam kalangan pengundi yang keliru ini akan berubah.
“Sekarang memang mereka kata tidak mahu mengundi. Tidak mengapa. Nanti kalau sudah dekat betul dengan pilihan raya, mereka tentu akan ubah fikiran.” – 17 Oktober, 2017.
Komen