PEMIMPIN Umno tidak boleh mencampuri urusan Salleh Said Keruak untuk menyertai PKR memandangkan beliau bukan lagi ahli parti.
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata, Salleh bebas dan berhak untuk menyertai mana-mana parti pilihannya.
“Hak masing masing (sertai parti), apa nak komen. Dia bukan ahli Umno lagi, dia ada hak dan kebebasan dia,” katanya ketika ditemui di Parlimen, hari ini.
Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob juga berkata, Umno tidak berhak menentukan hala tuju politik bekas menteri Kabinet Umno itu.
“Bebas untuk sesiapa nak sertai parti apa pun. Dia pun dah keluar daripada Umno. Jadi bila dia dah keluar Umno, bukan kuasa kita untuk menentukan ke mana dia nak pergi, terserah kepada Salleh nak ke mana,” katanya, ketika ditemui di Parlimen.
Salleh yang juga bekas ketua menteri Sabah dilaporkan menyertai PKR pada 25 Ogos lalu, namun penyertaannya dibuat tanpa persetujuan dan pengetahuan PKR Sabah.
Dalam kenyataan di laman blog miliknya, Salleh mengesahkan perkara itu, dan mengatakan beliau membuat permohonan secara atas talian untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan PKR.
Salleh dan bekas Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia adalah antara lima ahli Parlimen, sembilan wakil rakyat negeri dan 21 ketua bahagian Umno Sabah yang keluar parti pada Disember tahun lalu.
Mereka awalnya menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan kemudian tersebar khabar angin, mereka akan masuk PKR.
Salleh berkata, keputusan itu diambil bagi membolehkan mereka dan kerajaan negeri dan Persekutuan pada masa ini untuk menumpukan pertumbuhan dan pembangunan Sabah di masa hadapan. – 7 Oktober, 2019.
Komen