AHLI Parlimen Pontian Ahmad Maslan menafikan beliau menerima sejumlah wang daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas timbalan menteri kewangan itu berkata beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika disiasat sebelum ini.
“Saya telah disiasat oleh dua pihak berhubung dakwaan kononnya saya menerima sejumlah wang yang dikatakan berkaitan 1MDB.
“Pertama, siasatan oleh pihak polis dan kedua, SPRM sebelum ini. Saya memaklumkan kepada mereka saya tidak pernah menerima cek dengan sejumlah yang ditunjukkan salinan cek kepada saya oleh polis dan SPRM itu.
“Saya juga menandatangani dokumen polis dan SPRM, saya tidak pernah menerima wang seperti yang dinyatakan,” kata Ahmad pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Ahmad mengadakan sidang media itu sebagai menjawab kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya yang menamakan beliau antara 80 individu, syarikat, pertubuhan, dan yayasan yang dikenakan kompaun kerana menerima duit 1MDB.
Menurut Ahmad, beliau akan berbincang dengan peguamnya untuk menentukan tindakan susulan.
Selain Ahmad, SPRM mengeluarkan kompaun ke atas bekas pengerusi Felda Shahrir Samad; bekas setiausaha politik Najib Razak, Mohamad Fatmi Che Salleh dan bekas ketua Bahagian Umno Pasir Mas Hanafi Mamat.
Adik bekas perdana menteri, Nazir Razak, tokoh perbankan yang juga bekas pengerusi Kumpulan CIMB juga dikenakan kompaun untuk tuntutan terhadap RM25.7 juta yang diterima dari dana 1MDB.
Mereka diberi mana dua minggu untuk membayar denda berkenaan, atau berdepan tindakan mahkamah mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). – 7 Oktober, 2019.
Komen