SAKSI kesembilan pendakwaan, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan disoal balas pasukan peguam bela pada perbicaraan Najib Razak yang hari ini masuk hari ke-17.
Shahrol akan disoal balas oleh ketua peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah.
Ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Selasa lalu, Shahrol berkata Najib memainkan peranan utama dalam perjanjian usaha sama bernilai RM18 bilion antara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan anak syarikat International Petroleum Investment Co (Ipic), Aabar Investment PJS.
Saksi itu menyifatkan perjanjian tersebut sebagai ‘baby’ Najib dan bekas perdana menteri itu mempunyai “kepentingan”. Melalui usaha sama itu, saham sama rata dilaburkan secara global, termasuk Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD), yang kemudian ditukar nama kepada Tun Razak Exchange (TRX).
Pinjaman AS$3 bilion kemudian diperoleh untuk usaha sama itu dengan Goldman Sachs bertindak sebagai pengendali pinjaman berkenaan.
Operasi usaha sama itu bagaimanapun tidak pernah terlaksana atau membawa pendapatan kepada 1MDB, kata Shahrol kepada mahkamah.
Menurut Shahrol lagi, pada 2015 beliau mendapat arahan dari pejabat Najib supaya meninggalkan negara ini bagi mengelakkan perbicaraan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen.
Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh CEO 1MDB ketika itu, Arul Kanda Kandasamy.
Sebagai persediaan menghadapi mesyuarat PAC seterusnya, Shahrol berkata beliau diajar oleh ahli-ahli PAC, termasuk pengerusinya, Hasan Arifin.
Najib sedang dibicarakan berhubung empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa untuk mendapat suapan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram bagi jumlah yang sama. Beliau bakal berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pemimpin berusia 66 tahun itu diwakili sekumpulan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan, sementara hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah mempengerusikan perbicaraan.
The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
4.33pm: Hakim Sequerah tangguhkan perbicaraan hari ini. Saksi akan menyambung keterangan pada pukul 9.30 pagi esok.
4pm: Shahrol berkata sekiranya beliau tahu Low menyalahgunakan wang SRC International, beliau akan maklumkan lembaga pengarah mereka agar tindakan dapat diambil.
3.22pm: Shafee kini sedang menyemak kerjasama tenaga yang dibuat kerajaan sebelum ini.
3.10pm: Shahrol berkata bahawa beliau percaya Najib dan pasukannya bahawa ini adalah serangan politik terhadapnya dan Najib juga percaya tindakannya sebagai CEO 1MDB.
2.55pm: Shafee bertanya Shahrol mengenai saman sivil yang diambil kerajaan terhadap lembaga pengarah 1MDB. Shahrol berkata beliau tidak bimbang kerana beliau bercakap benar.
Shahrol berkata, beliau hanya melakukan apa yang disuruh dalam 1MDB kerana beliau adalah “team Najib”.
2.40pm: Perbicaraan bersambung. Shahrol mengambil tempat dan Shafee meneruskan dari mana beliau berhenti.
12.50pm: Shahrol berkata beliau percayakan Low kerana pemacu utama TIA sudah siap dan apa yang diperhatikan ialah Low antara mereka yang dipercayai oleh pemain utama.
Mahkamah berhenti rehat.
12.35pm: Shafee bertanya adakah sultan yang juga Yang di-Pertuan Agong, kagum dengan Low.
Shahrol: Ia pemerhatian yang pendek. Tetapi dari cara Low bawa diri di istana, boleh dikatakan Low dapat perkenan Agong pada masa itu.
12.31pm: Shafee mencadangkan TIA bukan projek diilhamkan oleh Najib. Shahrol setuju.
Shafee: Idea TIA dicadangkan bila Low bawa Sultan Terengganu ke Abu Dhabi? Najib tidak ada dalam keadaan itu?
Shahrol: Saya setuju tetapi saya tidak tahu sama ada Low sudah bercakap dengan Najib.
Shafee mencadangkan kepada saksi bahawa sesiapa yang mencadangkan TIA adalah idea Najib, ia mungkin tidak betul.
Shahrol setuju.
12.12pm: Shafee mencadangkan Goldman Sachs terbabit daripada sebelum penubuhan TIA.
Shahrol berkata ia betul.
12.00pm: Menurut Shahrol, dana itu pada asalnya ditubuhkan untuk mewujudkan pembangunan lestari di Terengganu. TIA menumpu kepada sektor minyak dan gas, pelancongan, hartanah dan pertanian.
11.48am: Shahrol berkata pada hujung 2008 Jho Low menghantar mesej, bertanya jika beliau berminat pegang jawatan dalam satu dana, ketika itu Terengganu Ivesment Authority (TIA).
Sahrol: Saya kata saya memang berminat untuk teliti tetapi saya tanya kalau ada apa-apa yang Accenture boleh buat untuk dana baru itu. Low menyepikan diri sehinggalah pada Mac 2009 beliau meminta saya menghadap istanaTerengganu.
11.36am: Shafee: Kami tidak tanya SPRM kenapa kamu dikenakan larangan?
Shahrol: Saya agak sebab (kes) 1MDB.
11.34am: Shahrol berkata tidak lama selepas PRU14, kerajaan mengenakan larangan perjalanan kepadanya.
Saksi itu berkata larangan itu dikenakan selama setahun.
Larangan itu menyebabkan beliau sukar mendapatkan pekerjaan, katanya.
10.45am: Shahrol menjelaskan secara terperinci apa yang berlaku ketika beliau dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan 1MDB.
10.38am: Shahrol berkata Jho Low menyukai beliau kerana sikapnya yang tidak menjaga tepi kain orang.
10.34am: Shahrol berkata Low seorang yang senang faham dan perbincangan mereka berjalan dengan baik.
Shafee: Ketika itu, ada kamu nampak Low seorang penipu?
Shahrol: Langsung tidak.
10.31am: Shahrol beritahu mahkamah Low selalu datang lambat tetapi seorang yang petah dan cepat memahami konsep.
10.25am: Ketika itu Jho Low adalah pengarah urusan Utama Banking Group (UBG), kata Shahrol.
“Saya jumpa dia untuk bertanya apa yang dia mahu. Dia mahu memprofesionalkan proses pelaburan di UBG.”
Katanya, ia termasuklah mengenal pasti, menapis dan pendokumenan dan pelaburan semasa dan pelaburan berpotensi UBG.
Jho Low berusia 26 tahun ketika itu.
10.21am: Shahrol berkata beliau pertama kali berjumpa Low Taek Jho pada 2007, semasa bekerja di Accenture.
Saksi itu berkata belai menerima pesanan ringkas (SMS) dari Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
“Dia hantar SMS kepada saya, minta saya datang ke pejabatnya untuk bincang mengenai sistem di syarikatnya.”
Shahrol berkata Jho Low mendapat nombor telefonnya dari rakan sebiliknya di Stanford.
Beliau berjumpa Low selepas menerima SMS itu, kata Shahrol.
9.53am: Saksi itu berkata beliau hanya memenuhi syarat minimum untuk lulus, gagal mendapatkan memperoleh ijazah kepujian “cum laude”.
Shahrol memperoleh Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Elektrik.
Selepas tamat pengajian, Shahrol berlata beliau bekerja di firma Anderson yang kemudian ditukar kepada Accenture.
9.50am: Shahrol berkata beliau melanjutkan pelajaran ke Stanford University di Palo Alto, California.
Katanya, Stanford pada masa itu adalah antara tiga universiti terkemuka di AS bagi jurusan Kejuruteraan, tetapi keputusan beliau tidak cemerlang.
“Terus-terang saya katakan, saya nyaris gagal,” kata Shahrol.
9.44am: Shahrol beritahu mahkamah beliau memperoleh A1 bagi subjek Matematik, Fizik, Kimia, Biologi, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Geografi dalam peperiksaan SPM. Bagi subjek Bahasa Malaysia, Shahrol memperoleh C6.
“Macam budak-budak 17 tahun lain, saya tak tahu nak buat apa. Saya fikir kejuruteraan adalah subjek yang menarik untuk saya belajar.
“Selepas dapat keputusan SPM, saya ditawarkan banyak biasiswa ke UK dan Amerika Syarikat (AS),” katanya.
Saksi itu berkata memulakan pendidikan pra-universiti di Citrus College, Los Angeles.
9.40am: Shafee bertanya kepada Shahrol mengenai latar belakang pendidikannya.
Shafee bertanya mengenai prestasinya di Maktab Tentera Diraja di Sungai Besi antara 1981 hingga 1987.
9.37am: Mahkamah mula bersidang. – 7 Oktober, 2019.
Komen