Pendidik digesa wujudkan program keharmonian kaum di kalangan pelajar


Bede Hong

Pelajar perlu diberikan pendidikan mengenai keharmonian dan integrasi kaum bagi mengekalkan kesejahteraan di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

PENDIDIK dan pihak sekolah perlu berusaha memupuk persekitaran yang menjamin keharmonian kaum di kalangan pelajar, kata ketua kumpulan ibu bapa pelajar.

“Akhirnya, di atas bahu pentadbir sekolah dan usaha merekalah yang diperlukan bagi memastikan keharmonian terjamin,” kata setiausaha Parents Action for Education (PAGE), Tunku Munawirah Putra.

Tunku Munawirah berkata demikian bagi mengulas isu hangat berkenaan doa Kristian di Sekolah Methodist Girls ‘(MGS) di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Para pentadbir sekolah mesti berusaha lebih bagi memastikan ada program khas yang memupuk kesatuan dan keharmonian.

“Mereka perlu ambil langkah berhati-hati untuk memastikan setiap program atau usaha yang dilaksanakan di sekolah tidak menyebabkan pemisahan yang disengajakan atau tidak sengaja.”

Bagaimanapun, beliau yakin bahawa pemisahan di sekolah bukan masalah yang berleluasa.

“Saya tidak percaya bahawa pengasingan meluas (di sekolah). Para pelajar dipisahkan hanya dalam kelas agama dan moral, itu sahaja.

“Setakat yang kita tahu, kebanyakan penjual kantin (di sekolah) adalah orang Islam, kecuali beberapa sekolah Cina tetapi makanannya halal,” katanya kepada The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight baru-baru ini melawat MGS, di mana pengendali kantin berkata kanak-kanak perempuan dari pelbagai kaum berkawan antara satu sama lain, dan tidak berpecah mengikut kaum atau agama seperti yang didakwa Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P. Ramasamy.

MGS berada di tengah-tengah perdebatan hangat selepas seorang aktivis Islam berusia 35 tahun, Muhsin Abdul Latheef membuat laporan polis mengenai bacaan yang dikatakan doa Kristian ketika majlis penyampaian hadiah di sekolah berkenaan.

Doa itu dikatakan adalah sebahagian daripada ucapan ahli lembaga sekolah mengenai topik perpaduan.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa ucapan yang menggesa keharmonian kaum itu dibuat selepas murid-murid Islam menolak untuk membeli dari penjual makanan bukan Islam di sekolah. Dakwaan boikot itu disebut beberapa kali oleh Ramasamy.

Muhsin, dalam laporannya, mendakwa sekolah tersebut cuba mengkristiankan  murid-murid Islamnya, yang dikatakan mempunyai bilangan majoriti. Beliau turut berkata terdapat 347 murid Islam dan hanya 161 orang bukan Islam, dan 26 guru Islam dan 14 guru bukan Islam.

Polis telah membuka siasatan terhadap tuduhannya, dan akan memanggil pihak yang terlibat termasuk pihak pentadbiran sekolah bagi diambil keterangan.

Persekutuan Majlis Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia (FCCMSM) baru-baru ini berkata ia sedang berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan menteri pendidikan bagi membincangkan peristiwa baru-baru ini di MGS dan menjernihkan suasana.  – 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen