MOHD Syukur Ahmad tinggal di Flat Sri Pulau Pinang sejak 1995. Bekerja sebagai pemandu di institusi perguruan dengan gaji bersih RM2,100.
Selepas waktu pejabat, dia akan memandu teksi sehingga jam 12 malam. Ini rutin hidup Mohd Syukur kerana perlu mencari wang tambahan. Pada Sabtu dan Ahad, pekerjaan memandu teksi diteruskan selama 12 jam.
“Tolak sewa teksi dan duit minyak, dapatlah dalam RM1,200 bersih dalam sebulan hasil teksi,” katanya.
Syukur berusia 57 tahun dan memiliki lima anak. Seorang telah berkahwin dan dua anak belajar di kolej swasta dan dua lagi di sekolah menengah. Isterinya pula mengidap asma yang kronik.
“Kedua-dua anak hanya mendapat 75% pinjaman PTPTN. Jadi saya kena tambah sekitar RM1 ribu seorang setiap semester. Wang saku bulanan pula sekitar RM300 seorang,” katanya.
Syukur memohon bantuan zakat tetapi hanya layak menerima RM1 ribu bagi setiap anak yang diterima masuk ke IPTA.
“Anak-anak saya hanya layak menerima sekali saja bantuan zakat ketika mendaftar masuk belajar. Saya bekerja kerajaan dengan gaji tetap dan anak pula menerima PTPTN. Jadi, bantuan zakat hanya sekali harung,” jelasnya.
Syukur antara 26 ribu daripada 46 ribu penyewa yang gagal melunaskan bayaran sewa bulanan rumah DBKL. Sekali gus antara 57% penyewa yang mengalami masalah tertunggak sewaan RM58 juta dengan DBKL.
“Dulu pernah sampai 60 bulan berhutang sewaan. Sekarang tinggal hanya 26 bulan. Saya bayar tunggakan tiga tahun setelah mengeluarkan wang KWSP pada 2017,” katanya.
Hidup Syukur tidak mudah. Margin yuran semester dua anaknya harus dikumpul sedikit demi sedikit. Sumbernya ialah tabungan wang gaji dan hasil memandu teksi.
“Tiap semester kena tambah RM2,000 untuk yuran semester dua anak di kolej. Itu belum masuk pelbagai kos kegunaan pembelajaran. Ada masa kos tugasan belajar saja kena sampai RM300 sebulan,” katanya.
Syukur menolak dakwaan dirinya liat membayar sewa. Malah, menafikan anggapan, tidak bertanggung menjelaskan sewa bulanan DBKL.
“Ada tiga benda utama saya kena atur dan dahulukan tiap bulan. Pertama, makanan keluarga. Kemudian pendidikan anak-anak dan menyediakan kos rawatan kepada isteri,” tegasnya.
Itu belum lagi kos dua anaknya yang masih bersekolah menengah. Tahun depan, anak keempatnya akan menduduki SPM.
“Saya mahu pastikan dia cukup wang untuk sentiasa hadir ke sekolah dan fokus belajar. Saya tidak mampu menanggung yuran tuisyen,” katanya.
Kos sara hidup punca hutang tunggakan
Bagi aktivis Laskar4Life, Aniza Mehboob Shah, tanggapan rambang terhadap penyewa PPR sebagai liat membayar lebih bersifat tuduhan liar dan prejudis.
“Dari luar anda nampak kereta memenuhi rumah PPR, ada parabola Astro dan rumah pakai langsir cantik. Itu bukan gambaran sebenar bagi kehidupan 26 ribu penyewa lain yang miskin,” katanya.
PPR katanya, turut dihuni warga tua yang sudah pencen atau hilang keupayaan bekerja kerana faktor umur. Malah, data awal menunjukkan hampir 25% penyewa PPR adalah buruh dan pekerja rencam dengan pendapatan tidak menentu.
Aniza yang berpengalaman sembilan tahun menjalankan kerja sosial berkata, bagi mereka yang hidup sebagai pengutip sampah, tukang cuci, pengasuh, buruh gaji hari, mekanik kecil dan pengawal keselamatan, hidup adalah satu pertarungan.
Selain tiada pendapatan tetap, keadaan ekonomi semasa turut menyukarkan mereka memperolehi RM50 sehari.
“Anda tentu faham apa itu nilai RM50 dalam kos kehidupan hari ini. Penghuni bukan sekadar hidup untuk makan, mereka juga menyara anak sekolah dan bertanggung jawab terhadap bil rawatan kesihatan keluarga,” katanya.
Aniza turut mengingatkan, supaya kerajaan dan masyarakat tidak mengenepikan laporan Unicef pada Februari 2018 mengenai tahap nutrisi kanak-kanak PPR.
“Laporan Unicef menyebut 30% kanak-kanak PPR kurang nutrisi. Itu tanda kritikal. Kanak-kanak gagal mendapatkan akses makanan asas tiga kali sehari,” katanya.
Menurutnya, kemiskinan jangan diukur dengan mentaliti 80-an. Berdasarkan pandangan bahawa keluarga yang memiliki rumah PPR bebas dari belitan kemiskinan.
“Angka 57% penyewa gagal membayar tunggakan menunjukkan gejala kemiskinan kini bersembunyi di balik tembok batu rumah PPR,” tegasnya.
Pada November tahun lalu, DBKL mengumumkan tunggakan sewa hanya RM28.13 juta. Justeru, satu kejutan, apabila minggu lalu angka itu melonjak ke paras RM58 juta.
“Kalau tunggakan meningkat lebih 100%, ia bukti realiti kemiskinan makin teruk. Saya fikir, lebih ramai tidak mampu membayar sewa pada 12 bulan terakhir tahun ini. Kita sendiri sudah melihat betapa teruk kos sara hidup sejak lima tahun lalu,” kata Aniza.
Amaran bukan penyelesaian
Minggu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad mendedahkan isu tunggakan sewa PPR yang berlarutan sejak puluhan tahun.
Khalid mengatakan, antara alasan penyewa tidak mampu melangsaikan tunggakan berkaitan dengan isu tidak mempunyai pekerjaan.
“Kita tak mahu pendekatan mengejut seperti mengambil tindakan. Kita cuba selesaikan masalah ini terlebih dahulu. Beri tempoh dalam tiga atau enam bulan untuk penduduk bayar sewa,” katanya.
Bagi Aniza, unjuran tempoh tiga ke enam bulan tidak akan mengubah keadaan semasa. Malah, beban tunggakan sewa akan berterusan.
Notis amaran yang disusuli tindakan menyita bekalan air atau menghalau keluar penghuni, kata Aniza, bukan jalan penyelesaian yang bijak.
“Ada penghuni yang mengalami penurunan pendapatan kerana sektor buruh tidak lagi mampu menawarkan pendapatan tambahan. Banyak syarikat kini memotong elaun lebih masa dan mengelakkan bayaran kerja berganda pada hari cuti,” katanya.
Suasana ekonomi, kata Aniza, kini tidak menentu. Malah, ada penghuni PPR yang kehilangan kerja kerana banyak syarikat kecil menutup operasi.
“DBKL harus mencari mekanisme baharu. Semua 26 ribu penyewa tidak mungkin mampu menyediakan bayaran tunggakan dalam tempoh terdekat. Kecuali jika pihak zakat dan badan kebajikan tampil membantu,” katanya. – 6 Oktober, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen