MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu diberitahu Najib Razak memainkan peranan utama dalam urus niaga usaha sama RM18 bilion (AS$6 bilion) antara 1MDB dan anak syarikat pelaburan negara Emiriyah Arab Bersatu sebelum pilihan raya pada 9 Mei tahun lalu.
Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya berkata perjanjian itu, ditandatangani pada 12 Mac, 2013 adalah usaha sama besar antara 1MDB dan Aabar dan beliau percaya ia urus niaga antara kerajaan dengan kerajaan dan membabitkan kerjasama strategik antara dua negara.
Beliau memberitahu mahkamah urus niaga itu adalah projek Najib dan ada kepentingannya. Majlis menandatangani urus niaga itu diadakan di Pejabat Perdana Menteri, disaksikan oleh Najib dan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
Usaha sama itu antara 1Malaysia Development Bhd dan Aabar Investment PJS, anak syarikat International Petroleum Investment Co (Ipic), dengan saham sama rata dilaburkan secara global, termasuk Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD), yang kemudian ditukar nama kepada Tun Razak Exchange (TRX).
Syarikat usaha sama itu dinamakan Abu Dhabi-Malaysia Investment Company (Admic) dan IPIC menjamin pelaburan Aabar, di mana Najib sebagai menteri kewangan menjamin pelaburan 1MDB dengan surat sokongan.
Pinjaman AS$3 bilion kemudian diperoleh untuk usaha sama itu dengan Goldman Sachs bertindak sebagai pengendali pinjaman berkenaan. Dua hari selepas majlis menandatangani perjanjian itu, Najib menandatangani surat sokongan mengumpulkan pinjaman AS$3 bilion menerusi penerbitan bon oleh 1MDB dari Bank of New York Mellon Group.
Seminggu kemudian, AS$2.721 bilion dimasukkan ke akaun 1MDB Global Investment Limited dengan BSI Bank di Lugano, Switzerland sementara bakinya untuk membayar fi Goldman Sach’s fee.
Operasi usaha sama itu bagaimanapun tidak pernah terlaksana atau membawa pendapatan kepada 1MDB, kata Shahrol kepada mahkamah. – 6 Oktober, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen