Bagaimana WKB2030 Pakatan akan berjaya sedangkan NTP era Najib gagal?


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dilancar Dr Mahathir Mohamad semalam, menandakan permulaan era sebuah pelan pembaharuan ekonomi 10 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2019.

SIKAP dan dasar berbeza akan menjayakan agenda ekonomi baharu Pakatan Harapan, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030), berbanding pelan ekonomi sebelum ini yang gagal, kata pemimpin pakatan pemerintah.

Pandangan ini dikeluarkan selepas wujud dakwaan persamaan yang ada antara WKB2030 dan Program Transformasi Negara (NTP) dibuat pentadbiran Najib Razak.

Seperti NTP, WKB2030 adalah janji untuk memastikan pembangunan saksama, inklusif dan mampan.

Tetapi, pengkritik PH sudah mempersoalkan sama ada pakatan pemerintah yang hanya mula berkuasa tahun lepas boleh menjayakan wawasan itu disebabkan menteri dan pegawainya kekurangan pengalaman mentadbir berbanding pemimpin BN.

Pemimpin PH bertegas yang WKB2030 berbeza daripada NTP yang terdiri daripada Transformasi Program Ekonomi (ETP) dan Transformasi Kerajaan (GTP).

Perbezaan itu bukan sahaja kerana WKB2030 lebih terarah dan terkhusus berbanding ETP dan GTP, tetapi juga kerana perbezaan sikap pengamal agenda, kata mereka.

“Tidak. Ini jauh berbeza daripada (agenda ekonomi) Najib,” kata Chua Tian Chang yang lebih dikenali sebagai Tian Chua, penasihat khas kepada Menteri Kerja Raya apabila ditanya tentang WKB2030 dan NTP.

Chua adalah ahli Parlimen pembangkang dua penggal ketika pentadbiran Najib antara 2009 hingga 2018 dan menyaksikan kelahiran kedua-dua agenda itu.

“Najib membebaskan pasaran secara keterlaluan dan yang kaya bertambah kaya dan syarikat mereka bertambah besar.

“Beliau juga menumpukan kepada hartanah dan ekuiti. Jadi produktiviti sektor ditukar kepada saham pegangan,” kata Chua.

Beliau memberikan contoh bagaimana cabang komersial Felda misalnya ditukar kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Malaysia tak pernah lekang rancangan, tetapi adakah WKB2030 yang dilancar semalam akan berjaya atau menjadi satu lagi retorik politik akan ditentukan oleh masa dan sikap pemimpin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2019.

Ketika disenaraikan di pasaran saham pada 2012, FGVH adalah salah sebuah syarikat awam dengan nilai saham permulaan tertinggi tetapi nilainya sudah menjunam sekarang- separuh daripada harga asal.

WKB2030 dilancarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam dan merupakan pelan transformasi ekonomi 10 tahun pakatan pemerintah.

Ia mempunyai tiga matlamat utama iaitu pembangunan untuk semua, merapatkan jurang kekayaan dan pembinaan sebuah negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Paling utama ia mengakui kebergantungan Malaysia terhadap komoditi dan buruh murah dalam pembuatan yang selama ini berjaya menggerakkan industri Malaysia, tetapi gagal membangunkan dan mengekalkan bakat kemahiran tinggi dan adaptasi teknologi tinggi yang meluas.

Dalam tempoh 10 tahun, antara matlamat penting WKB2030 adalah meningkatkan pendapatan golongan B40 kepada tidak kurang RM5,800 sebulan.

Ia juga mahu menjadikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro sebagai pemacu utama ekonomi dengan menaikkan sumbangan mereka kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 20% kepada 50%.

Buku WBK2030 mendakwa semua ini boleh dicapai menerusi tujuh strategi termasuklah penstrukturan semula ekosistem niaga dan industri, merangsang aktiviti ekonomi utama dan pembangunan sumber manusia.

Agenda ini diharapkan dapat menaikkan gaji pekerja, memulihkan kesejahteraan dan kapital sosial serta merapatkan jurang wilayah kaya dan miskin. – 6 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen