Polis ambil keterangan penganjur himpunan kleptokrasi


Muzliza Mustafa

Pakatan Harapan menganjurkan himpunan mega “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi” di Padang Timur, Petaling Jaya, Sabtu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2017.

AHLI Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya Lim Yi Wei disoal siasat di bawah Akta Perhimpunan Aman hari ini berhubung peranannya dalam penganjuran himpunan kleptokrasi di Padang Timur pada Sabtu lalu.

Lim ialah ahli jawatankuasa penganjur yang berurusan dengan polis sebelum perhimpunan itu diadakan.

“Pegawai penyiasat bertanya lebih 10 soalan mengenai himpunan itu.

“Saya tidak pasti sama ada saya akan didakwa atau tidak. Saya harap tidak,” katanya kepada wartawan selepas kenyataannya diambil.

Polis minggu lalu menasihatkan penganjur supaya menukar tempat perhimpunan itu ke stadium Kelana Jaya selepas menerima lebih 20 laporan daripada penduduk berhampiran Padang Timur yang bimbang jalan di situ akan menjadi sangat sesak.

Bagaimanapun, perhimpunan itu tetap diadakan di Padang Timur tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun sebelum ini memberi amaran kepada penganjur yang mereka mungkin diheret ke balai polis susulan perhimpunan itu.

Lim sedang disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Peguam Vince Tan yang mewakili Lim berkata separuh daripada soalan pada bahagian pertama adalah mengenai latar belakang keluarga anak guamnya itu.

Tan berkata berkenaan siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman, polis memfokuskan kepada sekatan dan syarat yang dikenakan terhadap perhimpunan itu.

“Polis mungkin ada tafsiran undang-undang mereka sendiri,” katanya, menambah yang Lim boleh didenda hingga RM10,000 jika sabit kesalahan. – 16 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen