Tubuh IPCMC dan mansuh Akta Antiberita Tidak Benar jadi agenda Parlimen


Chan Kok Leong

Parlimen akan mula bersidang esok, terakhir untuk tahun ini. Tumpuan dijangka diberi kepada beberapa isu penting termasuk penubuhan IPCMC dan akta berita tak benar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2019.

SELEPAS pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) semalam, semua mata akan tertumpu pada belanjawan nasional kedua Pakatan Harapan dalam sidang Parlimen akhir tahun yang bermula esok.

Semasa pelancaran WKB2030, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata elemen-elemen rancangan visi akan dimasukkan ke dalam Bajet 2020 dan Rancangan Malaysian Ke-12 (RMK12) untuk membawa Malaysia ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Ini akan dilakukan dengan mengurangkan kebergantungan terhadap komoditi dan pembuatan serta mempelbagaikan ekonomi sambil memastikan pengagihan kekayaan yang saksama bagi semua rakyat Malaysia.

Bajet 2020 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat depan adalah peluang pertama kerajaan untuk mempamerkan bagaimana WKB2030 dapat diterjemahkan menerusi tindakan.

Selepas setahun langkah-langkah penjimatan, rakyat juga tertanya-tanya apa yang diperlukan dalam belanjawan kedua PH.

Kerajaan Pakatan Harapan berdepan pelbagai tekanan setelah membuat beberapa langkah mengurangkan perbelanjaaan sejak mengambil alih pentadbiran dalam pilihan raya lepas.

Dalam Bajet 2019, kerajaan dikritik kerana telah banyak memotong subsidi kumpulan seperti nelayan dan mengurangkan bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dahulunya dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Kain rentang yang dilihat pada pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam. – 6 Oktober, 2019.

Selain bajet, Dewan Rakyat yang akan bersidang dari 7 Oktober hingga 5 Disember ini juga akan membahaskan rang undang-udang mengenai penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

IPCMC yang ditunggu sejak sekian lama dicadangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 2005 dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 17 Julai lalu.

Suruhanjaya baharu itu ditubuh bagi menangani rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pasukan polis.

Undang-undang baharu lain dalam agenda termasuk Rang Undang-undang (RUU) Pembiayaan Politik dan RUU Ombudsman.

RUU Pembiayaan Politik adalah sebahagian daripada Rancangan Anti Rasuah Negara dan bertujuan menjadikan pembiayaan politik lebih telus sementara RUU Ombudsman dijangka menggantikan Biro Pengaduan Awam.

Kerajaan juga dijangka mencuba satu lagi Akta Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) selepas Dewan Negara menolaknya pada September 2018.

Akta tersebut tergesa-gesa diluluskan di bawah pentadbiran Barisan Nasional sebelum pilihan raya umum yang lalu dan dilihat sebagai percubaan untuk menyekat kritikan terhadap kerajaan.

Di bawah pemerintahan PH tahun lalu, Dewan Rakyat berjaya memansuhkan akta berkenaan tetapi dikalahkan dalam Senat di mana BN mempunyai majoriti senator.

PH dijangka akan menyusun semula pemansuhan di tempat duduk baharu mengikut Perkara 68 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan bagaimanapun boleh melangkau Dewan Negara dengan membentangkan semula RUU yang sama di Dewan Rakyat setahun kemudian.

Selepas RUU diluluskan oleh ahli Parlimen tanpa apa-apa pindaan, ia tidak perlu melalui Dewan Negara sekali lagi dan boleh dihantar kepada Agong untuk perkenan. – 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen