Suruhanjaya Hak Asasi PBB gesa lagi Malaysia iktiraf Konvensyen Pelarian


Diyana Ibrahim

Pesuruhjaya Tinggi PBB Michelle Bachelet berkata pengesahan Konvensyen Pelarian 1951 akan memberi pelarian Rohingya lebih banyak akses kepada aspek kualiti hidup seperti pendidikan dan pekerjaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Oktober, 2019.

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu mengulangi saranannya agar kerajaan mengiktiraf Konvensyen Pelarian 1951 dalam usaha melindungi hak pelarian terutama etnik Rohingya.

Pesuruhjaya Tingginya, Michelle Bachelet berkata pengesahan konvesyen itu akan memberi pelarian Rohingya lebih banyak akses kepada aspek kualiti hidup seperti pendidikan dan pekerjaan.

“Saya amat berharap pengiktirafan pelarian dari segi undang-undang dapat dilakukan kerajaan Malaysia. 

“Ini termasuk hak untuk mendapatkan pendidikan dan pekerjaan kepada semua pelarian termasuk komuniti Rohingya,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Beliau mengadakan sidang media sebagai menutup lawatan dua harinya ke Malaysia menyemak perkembangan amalan hak asasi di negara ini.

Sepanjang dua hari ini, bekas presiden Chile itu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad serta pegawai kerajaan dan wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Manusia (Suhakam) dan badan masyarakat lain.

Beliau juga melawat sekolah untuk pelarian Rohingya di Kajang, Selangor.

Bachelet membuat gesaan itu ketika Putrajaya menunggu siasatan suruhanjaya diraja (RCI) mengenai insiden pembongkaran kubur besar pelarian Rohingya di Wang Klian, Perlis pada 2015.

Pembongkaran itu menemui 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Susulan itu, RCI yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara Ariffin Zakaria berlangsung selama 17 hari bermula 17 April dan mendengar keterangan 48 saksi. Mereka dijadual menyerahkan laporan kepada Yang Di-Pertuan Agong pada awal September.

Dalam pada itu, Bachelet juga menyuarakan kebimbangannya mengenai perbincangan antara Malaysia dan Myanmar berhubung penghantaran pulang pelarian Rohingya.

Katanya, Malaysia perlu memastikan keselamatan dan hak pelarian Rohingya terjamin sekiranya mereka dihantar pulang.

Ia juga perlu dibuat atas sukarela pelarian terlibat, katanya.

“Namun Myanmar masih belum bersedia (untuk menerima semula pelarian) dan banyak yang perlu mereka lakukan bagi memperbaiki dasar mereka ke atas komuniti tersebut,” katanya.

Pada sidang media sama, Bachelet juga ditanya mengenai kritikan perdana menteri berhubung kuasa negara veto di PBB dan kegagalan badan dunia itu menghalang konflik perang.

Bachelet berkata, PBB mempunyai pendirian sama seperti Dr Mahathir namun amat mustahil badan dunia itu dapat melakukan perubahan tanpa sokongan antarabangsa.

“Saya fikir Setiausaha Agung PBB Antonio Gutterez juga mempunyai pandangan sama, iaitu kami boleh melakukan lebih baik lagi untuk menghalang konflik.

“Namun apabila konflik ini sudah bermula sukar untuk PBB untuk menanganinya. Kerana itu kami percaya memperjuangkan sistem hak asasi lebih baik kerana ia boleh mencegah lebih awal konflik berlaku,” katanya.

Mengenai komitmen Malaysia dalam isu khatan wanita (FGM), Bachelete berkata perbincangan beliau hanya membabitkan usaha mencari penyelesaian yang bersesuaian dengan budaya dan amalan sesebuah negara. – 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen