PESURUHJAYA Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu Michelle Bachelet menawarkan bantuan pihaknya kepada Putrajaya dalam usaha menangani jenayah ucapan berbaur kebencian.
Beliau yang menamatkan lawatan dua hari ke Malaysia menyambut baik usaha kerajaan cuba menggalakkan perpaduan dan harmoni antara agama.
“(Saya) berminat dengan cadangan menubuhkan Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian Nasional.
“Satu cabaran utama ialah bagaimana menangani ucapan berbaur kebencian, yang membezakan antara ucapan yang dibenarkan dan ucapan yang dianggap menghasut,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Jelas Bachelet, Pelan Tindakan Rabat yang diterima pada 2010 dan berasaskan pada undang-undang hak asasi manusia memberi panduan untuk usaha itu.
Penubuhan Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian Nasional adalah antara tiga cadangan utama Majlis Perundingan Perpaduan Nasional yang ditubuhkan oleh kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional pada 2014.
Dua cadangan ialah memperkenalkan rang undang-undang jenayah kebencian kaum dan agama serta rang undang-undang harmoni dan rekonsiliasi.
Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan beberapa badan masyarakat yang mendakwa kononnya ia akan menjejaskan kedudukan agama Islam dan raja-raja Melayu.
Selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, pentadbiran yang baharu mengangkat semula cadangan itu untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Pada Julai 2018, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata kerajaan akan memperkenalkan undang-undang itu untuk mengekang budaya caci maki agama yang berleluasa dalam masyarakat.
Pada April 2019, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy mengumumkan keputusan kerajaan pada 30 Januari iaitu tidak meneruskan dua rang undang-undang tetapi mengekalkan cadangan menubuhkan Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasasi Nasional. – 5 Oktober, 2019.
Komen