PESURUHJAYA Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu memuji usaha Putrajaya mahu menangani isu hak asasi manusia secara menyeluruh yang tidak mengecualikan mana-mana kelompok masyarakat.
Michelle Bachelet yang menamatkan lawatan dua hari ke Malaysia percaya kerajaan sebenarnya komited untuk mengangkat agenda hak asasi manusia biarpun berdepan dengan cabaran.
“Saya yakin kerajaan komited mahu memajukan agenda hak asasi manusia. Tetapi – bercakap sebagai pesuruhjaya tinggi dan bekas ketua negara – saya faham kerumitan dan cabaran yang mereka hadapi,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau menyebut kepentingan pelbagai pihak dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, serta kepentingan antara negeri dan persekutuan yang perlu ditangani kerajaan.
“Ada aspirasi yang kuat ke arah perubahan positif tetapi ada juga kebimbangan bagaimana perubahan akan memberi kesan kepada pelbagai sektor masyarakat,” katanya.
Sepanjang dua hari ini, bekas Presiden Chile itu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad serta pegawai kerajaan dan wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Manusia (Suhakam) dan badan masyarakat lain.
Beliau juga melawat sekolah untuk pelarian Rohingya di Kajang, Selangor.
Dalam pemerhatiannya, Bachelet menyambut baik usaha kerajaan meminda Akta Orang Asli 1954 dan menganjurkan Konvesyen Orang Asli Kebangsaan sebagai langkah positif mengangkat hak insklusif semua kaum di negara ini.
“Tidak ada pihak ketinggalan juga bermakna hak kebebasan beragama dihormati termasuk dari kumpulan agama minoriti.
“Ini termasuk menjaga hak kepentingan Orang Asli melalui rundingan yang berkepentingan untuk memastikan pembangunan, perniagaan dan hak asasi yang selari,” katanya.
Pada masa sama beliau berkata pihaknya juga kagum dengan konsep Rahmatan Lil Alamin yang menjadi gagasan kerajaan kerana ia selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Lestari 2030.
“Saya amat kagum dengan visi Rahmatan Lil Alamin selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari dengan mengukuhkan kekuatannya,” katanya.
Matlamat Pembangunan Lestari atau SDG merupakan agenda yang digerakkan PBB yang menggariskan 17 matlamat antaranya ialah bebas kemiskinan, bebas kelaparan, pendidikan berkualiti dan kesaksamaan jantina.
Selain itu, Bachelet turut menyokong langkah kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas dan Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menangani masalah berpanjangan penyalahgunaan kuasa polis termasuk kes kematian dalam tahanan.
“Saya galakkan kerajaan untuk membuat langkah susulan untuk mengambil kira cadangan penting yang dibuat oleh Jawatankuasa Pembaharuan Institusi,” katanya.
Dalam rumusan lawatannya Bachelet juga berharap kerajaan akan terus meneliti undang-undang yang menyekat hak kebebasan bersuara seperti Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Awam, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Rahsia Rasmi.
Tambahnya lagi, PBB juga berharap kerajaan akan kekal pendirian melaksanakan moratorium hukuman mati dan mengalukan langkah menubuhkan pasukan khas mengkaji kaedah alternatif bagi menggantikan hukuman tersebut.
Untuk itu katanya PBB bersedia menawarkan pandangan seperti berkongsi data atau bukti berdasarkan kajian pengalaman negara yang melaksanakan hukuman gantung dan memansuhkan hukuman itu. – 5 Oktober, 2019.
Komen