Sektor swasta disaran sedia latihan industri  kepada bakal graduan


Sektor swasta disaran menyediakan latihan peningkatan kemahiran kepada pekerja sedia ada dan latihan industri yang bersesuaian kepada bakal graduan sebagai usaha transformasi modal insan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2019.

SEKTOR swasta disaran menyediakan latihan peningkatan kemahiran kepada pekerja sedia ada dan latihan industri yang bersesuaian kepada bakal graduan sebagai usaha transformasi modal insan.

Menurut buku Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini, cadangan lain untuk transformasi itu antaranya memperkukuhkan serta memperluas kerjasama antara penyedia latihan, industri dan badan profesional dalam penentuan kurikulum yang memenuhi keperluan industri.

“Juga memperkukuhkan mekanisme pengawalan kualiti bagi memastikan program akademik mematuhi piawaian kualiti akreditasi dan pengiktirafan.

“Dicadangkan juga usaha memupuk minat pelajar sekolah menerusi program kaunseling kerjaya bagi mengikuti program dalam bidang kritikal yang dikenal pasti berdasarkan senarai pekerjaan kritikal,” menurut buku itu.

Dalam perkembangan lain, teras strategik pengukuhan pasaran buruh dan peningkatan pampasan pekerja di dalam buku itu pula menggariskan tujuh cadangan strategi bagi menyelesaikan permasalahan yang telah dikenal pasti. 

Antara cadangan tersebut adalah mengkaji semula dasar gaji dan upah minimum dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan dan memperluas pelaksanaan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS). 

Juga dicadangkan untuk mengkaji semula peraturan pengambilan pekerja asing dan penetapan sektor yang dibenarkan untuk menggaji pekerja asing termasuk sistem pendaftaran selain memperkenal dan menguatkuasakan sistem pembayaran gaji kepada pekerja asing melalui institusi kewangan berdaftar untuk memperkemas pemantauan dan pengurusan pekerja asing.

Cadangan seterusnya ialah menambah baik mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pekerja asing bagi memastikan mereka tidak keluar dari sektor dan pekerjaan yang dibenarkan serta mengkaji semula insentif penggalakan pelaburan tempatan termasuk insentif berkaitan percukaian.

Terakhir adalah memperluas pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), penggunaan teknologi dalam operasi pengeluaran dan pembangunan tenaga kerja. – Bernama, 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen