MALAYSIA perlu mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5% hingga 5% setahun untuk 10 tahun akan datang bagi mencapai sasaran di Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
“Untuk suku tahun seterusnya dan sehingga akhir tahun, keadaan agak mencabar bagi kita. Selagi kita dapat mengekalkan (pertumbuhan KDNK) sebanyak 4.5% hingga 5%, kita perlu berada di landasan yang betul,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran WKB2030 di Kuala Lumpur hari ini.
KDNK Malaysia berkembang sebanyak 4.9% pada suku kedua tahun ini.
Salah satu sasaran di bawah WKB2030 adalah untuk mencapai nilai KDNK nominal RM3.4 trilion menjelang 2030.
Ini bermakna negara perlu mencapai pertumbuhan purata sebanyak 4.7% setahun antara 2021 hingga 2030 untuk mencapai sasarannya.
Azmin menambah kerajaan mempunyai strategi untuk mencapai visi itu.
Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia meramalkan Malaysia perlu mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak 8% untuk mencapai matlamat di bawah WKB2030.
Pengerusi Kamal Salih berkata pertumbuhan KDNK perlu berada di antara 6% hingga 8%, dan bukan 4% hingga 5%.
Azmin berkata kerajaan sedang berusaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) dalam bidang baru seperti aeroangkasa dan ekonomi digital.
Selain memangkin ekonomi, ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, katanya.
Beliau berkata kerajaan menjangkakan aliran masuk pelaburan langsung domestik. – 5 Oktober, 2019.
Komen