Budaya tadbir urus baik penting bagi pemisahan kuasa, kata speaker


Bede Hong Timothy Achariam

TADBIR urus yang baik amat perlu untuk mengekalkan pemisahan kuasa antara eksekutif (pemerintah), perundangan dan kehakiman, kata Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan itu berkata mudah untuk berulang kali menyebut istilah pemisahan kuasa antara tiga cabang kerajaan tetapi ia tidak akan menjadi kenyataan tanpa disokong budaya tadbir urus yang baik.

“Malangnya, dalam kebanyakan sistem demoktarik, struktur perlembagaan yang baik merosot dari masa ke semasa tanpa adanya budaya tadbir urus yang baik,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang LawAsia 2019 di Petaling Jaya, hari ini.

“Membentuk institusi formal yang mencerminkan pemisahan kuasa akan menghasilkan tadbir urus awam yang baik dan menghormati kedaulatan undang-undang.

“Institusi-institusi ini perlu mantap. Malangnya sejak beberapa tahun lalu kita melihat begitu banyak contoh institusi yang tampak kuat telah terjejas, walaupun perlembagaan sendiri mungkin digubal dengan baik,” kata Mohamad Ariff.

Ariff berkata naratif mengenai pemisahan kuasa perlu melangkaui analisis biasa perundangan.

“Ia mesti diberi penghormatan dan dilaksanakan oleh political actors dalam sistem - anggota eksekutif, badan perundangan dan sudah tentulah hakim, yang mempunyai kuasa menyelesaikan konflik untuk mengekalkan serta memupuk tadbir urus awam yang baik dan kedaulatan undang-undang. – 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen